BM | EN | 中文

Ikon kriket negara Dr Harjit Singh meninggal dunia

Dr-Harjit-Singh-Kriket.jpg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 20 OKT: Sukan kriket negara kehilangan seorang tokoh selepas Presiden Majlis Kriket Johor (JCC) Datuk Dr Harjit Singh meninggal dunia akibat komplikasi jantung, Isnin malam.

Difahamkan, mendiang Dr Harjit, 70, meninggal dunia di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur pada pukul 11.50 malam.

Presiden Persatuan Kriket Malaysia Mahindra Vallipuram yang mengesahkan perkara itu, turut menzahirkan kesedihan mengenai pemergian tokoh berkenaan.

Advertisement

“Mendiang telah banyak menyumbang dalam pembangunan sukan kriket di Malaysia dan Johor.

“Sentiasa bersedia memberi pandangan dan tidak pernah putus asa demi membangunkan sukan kriket negara. Ramai bakat muda dan pemain kriket kebangsaan berjaya dilahirkan di bawah kepimpinan beliau,” katanya menerusi laman Facebook rasmi persatuan itu, hari ini.

Sementara itu, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengucapkan takziah kepada keluarga atas pemergian mendiang Dr Harjit.

Advertisement

“Saya mengucapkan takziah kepada Gurdip Singh dan keluarga. Semoga mendiang Datuk Harjit Singh, bersemadi dengan tenang dan anda akan diingati,” katanya dalam catatan yang dimuat naik dalam akaun Facebook rasminya, HRH Crown Prince of Johor.

Dr Harjit yang dilahirkan pada 10 April 1950, merupakan anak kepada bekas pemain kriket terkenal tanah air dari Kelab Kilat, Meva Singh.

Mendiang mula terlibat dengan sukan kriket semasa bermain untuk pasukan kriket Maktab Sultan Abu Bakar atau lebih dikenali sebagai The English College dari 1963 hingga 1966.

Advertisement

Pada usia 16 tahun, Dr Harjit menjadi pemain termuda yang mewakili Johor dalam liga utama kriket Malaysia.

Mendiang juga pernah mengetuai pasukan kriket Medical College XI mewakili Ranchi Universiti dan daerah Dhanbad ketika melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di India.

Tamat pengajian, Dr Harjit kembali ke tanah air untuk bermain kriket bersama Malaysia pada 1980 dan mengetuai pasukan Kriket Johor dalam Liga Kriket Kebangsaan bermula dari 1982 hingga 1985.

Advertisement

Selain itu, mendiang pernah memegang jawatan Majlis Persatuan Kriket Johor sejak 1987 sehingga kini selain menjawat jawatan Timbalan Presiden Persatuan Kriket Malaysia bermula 1990 hingga 2003.

Beliau juga merupakan pengasas program pertama kriket di peringkat sekolah untuk seluruh negara pada 1987.

Atas sumbanganya itu, beliau diiktiraf dengan pelbagai anugerah temasuk Anugerah Kepimpinan Sukan Johor pada 1989, 1995 dan 2007, selain Anugerah Khas oleh Yang di-Pertuan Agong pada 1998.

Advertisement

Mayat mendiang akan dibawa pulang ke kediamannya di Jalan Indera Putra di Johor Bahru, esok.

Bernama

 

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top