BM | EN | 中文

IIB Ventures, Common Ground kerjasama bangunkan kemudahan ruang kerja bernilai RM2.5 juta di Johor

iskandar-investment-berhad-IIB.jpg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 23 OKT: Iskandar Investment Bhd (IIB) akan bekerjasama dengan Common Ground Works Sdn Bhd bagi membangunkan kemudahan ruang kerja bersama bernilai RM2.5 juta di Johor.

Dalam kenyataannya pada Khamis, IIB berkata perjanjian kerjasama itu telah ditandatangani oleh anak syarikatnya, IIB Ventures Sdn Bhd dan Common Ground Works Sdn Bhd membabitkan pembangunan serta pengoperasian ruang kerja bersama dikenali sebagai Common Ground Iskandar Space (CGIS), di Medini, Iskandar Puteri, yang juga hab digital Johor.

IIB yang komited dalam usaha memacu pertumbuhan ekonomi dan alam sekitar mampan di Johor berkata, CGIS dijangka siap pada Januari 2022 dan menjadi sebahagian daripada inisiatif IIB untuk mewujudkan komuniti teknologi digital atau ‘Digitech’ yang berperanan sebagai kemudahan bagi syarikat-syarikat pemula niaga digital dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Advertisement

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Datuk Khairil Anwar Ahmad berkata CGIS merupakan ruang kerja bersama pertama di Johor yang dikendalikan oleh Common Ground.

“Inisiatif terbaharu ini menandakan satu lagi pencapaian untuk IIB dalam memajukan serta melaksanakan ekosistem teknologi berteraskan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) bagi menyokong visi Johor 2030 dan aspirasi digital serta MyDIGITAL di peringkat nasional.

“CGIS membentuk sebahagian daripada platform Iskandar New Economic Experience and Talent (NEXT) yang mana IIB telah menyediakan hala tuju untuk membolehkan Iskandar Puteri muncul sebagai nadi dan pusat ekonomi digital serta pembangunan bakat,” katanya.

Advertisement

Khairil Anwar juga menyifatkan kewujudan CGIS dapat menyediakan peluang rangkaian di peringkat tempatan dan serantau di Asia Tenggara bagi kalangan komuniti digital Johor.

Ini sekali gus dapat membantu memacu pertumbuhan perniagaan mereka berikutan pembangunan lebih 100 perniagaan dan acara sosial di CGIS dalam tempoh 12 bulan akan datang, katanya.

Menurutnya, inisiatif itu juga mewujudkan infrastruktur sewajarnya serta ekosistem kondusif bagi mengembangkan ekonomi digital serta pembangunan bakat atau tenaga kerja.

Advertisement

Sementara itu, Pengasas Bersama Common Ground Juhn Teo berkata syarikat itu bertanggungjawab bagi CGIS dari segi memaparkan reka bentuk yang diiktiraf, strategi perniagaan dan pemasaran di ruang milik IIB.

“Kami teruja dapat bekerjasama dengan IIB dalam ruang Common Ground terbaharu dan yang pertama bagi kami di Johor.

“Misi kami dalam menggerakkan CGIS ini adalah untuk menggalakkan semangat keusahawanan di Johor dan rantau ini serta menyokong syarikat pemula niaga dan PKS tempatan,” katanya.

Advertisement

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top