KUALA LUMPUR, 10 MEI: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Seri Idris Jusoh sebagai pengerusi agensi tersebut hari ini.
Ahli Parlimen Besut itu mengambil alih jawatan itu daripada Tan Sri Mohd Bakke Salleh yang meletakkan jawatan sebagai Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah FELDA.
Mohd Bakke sebelum ini dilantik sebagai Pengerusi FELDA untuk penggal selama dua tahun, berkuat kuasa mulai 1 Julai 2019 sehingga 30 Jun 2021.
Felda dalam laman Facebook rasminya memaklumkan pelantikan Idris berkuatkuasa pada 1 Mei lalu.
“Tahniah dan selamat datang kepada Datuk Seri Idris Jusoh diatas perlantikan sebagai pengerusi Felda berkuatkuasa pada 1 Mei 2020,” menurut kiriman yang dimuatnaik di laman Facebook FELDA.
Sementara itu BH Online melaporkan Pengarah Besar FELDA, Datuk Dr Othman Omar sebagai berkata, beliau yakin pengalaman dan kepimpinan Idris berupaya menerus serta mempercepatkan usaha pemulihan agensi terbabit.
Beliau dalam pada itu turut menzahirkan penghargaan terhadap pelbagai sumbangan Bakke selama ini.
Othman menyifatkan pengerusi terdahulu amat komited dalam membawa pelbagai pembaharuan dan strategi pemulihan, terutama untuk menjayakan pelan transformasi menerusi inisiatif Kertas Putih FELDA.
“Komitmen beliau (Bakke) memberikan semangat kepada seluruh warga FELDA untuk terus berusaha dengan lebih gigih untuk memastikan organisasi ini terus maju dan mencapai pertumbuhan yang stabil serta lestari.
“Kami sentiasa mendoakan yang terbaik untuk beliau dan mengucapkan selamat maju jaya dalam perjalanan karier beliau seterusnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Idris sebelum ini pernah menyandang pelbagai jawatan, termasuk Menteri Pengajian Tinggi, dari Julai 2015 hingga Mei 2018 dan Menteri Pendidikan II dari 16 Mei 2013.
Beliau turut pernah memegang jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu (2004-2008), Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) serta Timbalan Menteri Usahawan (1995-1999).
Johorkini