KOTA TINGGI, 5 FEB : Seorang ibu tunggal kepada enam orang anak yang turut membesarkan seorang anak orang kelainan upaya (OKU) di Felda Air Tawar 2 di sini mendapat pembelaan selepas menerima perhatian wakil rakyat Dun Johor Lama.
Adun Johor Lama, Rosleli Jahari berkata, wanita berkenaan, Siti Saleha Yasnain, 47 merupakan anak peneroka tidak bekerja di mana hanya seorang anak perempuannya yang telah berumahtangga manakala anak-anak lain masih belum bekerja.
Katanya, seorang anaknya OKU terencat pertumbuhan dan tidak boleh mengurus diri bernama Zulpikar Abd Rahman, 21 berdaftar di Pusat Dalam Komuniti (PDK) Kota Kecil tidak mempunyai akaun Bank Muamalat menyebabkan elaun RM150 tidak diterima.
“Ibunya sukar menghantar Zulpikar ke PDK dan dalam masa sama ibunya juga tidak berupaya mendapatkan rawatan susulan ke HSI.
“Siti Saleha yang kini tinggal di rumah kecil di belakang rumah ibunya hanya menyara keluarga dengan bantuan sara hidup Baitulmal RM400 dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM200 sebulan,”katanya kepada Johorkini.
Tambahnya, susulan itu pihaknya telah melakukan tindakan untuk menyantuni aduan masyarakat prihatin itu dengan mengajukan perkara berkenaan kepada pihak baitulmal.
Menurutnya, Amin Baitulmal MAIJ Kota Tinggi juga telah mengesahkan Siti Saleha layak mohon tambahan bantuan Baitulmal.
“Kita juga sedang menunggu tindakan JKM untuk urus kad OKU dan pihak kita juga akan bantu urus buka akaun Bank Muamalat untuk Zulpikar.
“Selain itu, Puan Siti Saleha juga telah dimasukkan dalam Kumpulan B40 (e-kasih) Pengupayaan Ekonomi Adun Johor Lama bagi membantu beliau,”katanya lagi.
Johorkini