JOHOR BAHRU, 4 DIS : Tular gambar seorang kanak-kanak lelaki yang baru berkhatan menaiki bas sehingga mendapat perhatian nitizen.
Status yang dimuatnaik pemilik Facebook Nor Shabiha Khairi berbunyi “Allahu dik.. kuatnya awak.. lepas bersunat terus naik bas..kuat lagi ibu awak sambil dukung baby bawak awak n adik baby naik bus.. kita rasa kita dah cukup susah tapi ada lagi yang lebih susah kan.. semoga cepat sembuh dik”.
Status berkenaan mendapat lebih 100 perkongsian dari nitizen yang rata-rata memuji kanak-kanak itu.
Bagi ibu kepada kanak-kanak itu, Siti Fatimah Ludin, 35 berkata, dia sememangnya terkejut selepas mendapati gambar anaknya Nasmir Amir Abdul Aziz, 9 tular di Facebook.
Ibu tunggal itu berkata, gambar berkenaan diambil ketika dia bersama Amir dan seorang lagi anaknya Nurhidayu, 2 dalam perjalanan ke tempat kerja di Kuala Lumpur.
“Saya tidak tahu siapa yang tularkan gambar anak saya. Saya pun baru dapat tahu semalam tentang gambar yang tular itu. Memang terperanjat…
“Saya hubungi pemilik akaun berkenaan bertanya kenapa tularkan gambar anak saya. Pemilik akaun tersebut memaklumkan mahu memberikan sumbangan.
“Gambar tersebut diambil selepas dua hari Amir berkhatan di Masjid Taman Subang Perdana ketika kami dalam perjalanan untuk ke tempat kerja saya,” katanya ketika dihubungi JohorKini.
Siti Fatimah berkata, dia dan bekas suami telah bercerai ketika dia sedang mengandung anak bongsunya dan kini dialah yang mengambil tanggungjawab menjadi ketua keluarga.
Katanya, sejak itu dia keluar mencari rezeki dengan bekerja di kedai makan di bandar Kuala Lumpur dan terpaksa membawa anak-anaknya bersama.
“Kami menetap di Subang Perdana setiap kali hendak ke tempat kerja kami akan menaiki bas turun di Ara Damansara dan seterusnya menaiki MRT (transit aliran massa) ke Kuala Lumpur.
“Sejak usia Amir tujuh tahun dia sudah berdikari sendiri menguruskan diri ke sekolah jika saya bekerja. Dia seorang anak yang tidak cerewet dan sangat memahami keadaan ibunya serta kehidupan kami yang serba kekurangan.
“Bahkan Amir seringkali memberitahu saya apabila dia sudah boleh bekerja nanti dia akan membantu mamanya,”katanya yang turut memaklumkan menerima bantuan Zakat Selangor sebanyak RM400 sebulan.
Tambahnya, dengan gaji sebanyak RM900 sebulan dan bantuan zakat diterima itulah yang digunakan untuk membayar sewa bilik RM300 dan perbelanjaan harian.
Katanya, dia juga akan mengusahakan untuk membelikan Amir kelengkapan sekolah yang baru pada tahun ini.
Jelasnya, sejak dari darjah satu dan dua, Amir yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Taman Subang Pedana tidak pernah menukar persalinan yang baru.
“Amir tidak pernah merengek meskipun beg dan kasutnya telah koyak dan lusuh.
“Walaupun kami kini sedang berdepan dengan masalah rumah di mana kami diminta tuan rumah agar keluar mencari tempat berteduh yang lain.
“Namun saya akan cuba membelikan Amir pakaian sekolah yang baru juga untuk sesi persekolahan tahun depan ini,” katanya lagi.
JohorKini