BM | EN | 中文

Ibu dan bayi perempuan maut kereta langgar pokok di Simpang Renggam

kemalangan-simpang-renggam-Myvi.png
Advertisement

KLUANG, 15 JAN: Seorang wanita dan bayi perempuannya yang berusia lima bulan, maut apabila kereta dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Km74.3 Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam, berhampiran sebuah stesen minyak, di Simpang Renggam dekat sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Low Hang Seng berkata dalam kejadian 10.40 malam itu, kereta jenis Perodua Myvi dinaiki mereka terbabas sebelum melanggar sebatang pokok, menyebabkan B. Nagaranjini, 25, yang duduk di bahagian penumpang depan, dan bayinya G. Varsha, maut di lokasi kejadian.

Pemandu B. Guna, 40, yang juga suami Nagaranjini, dan anak lelaki mereka, G. Trishikan, 6, masing-masing patah kaki kiri dan mengalami luka-luka, katanya dalam kenyataan hari ini.

Advertisement

Low berkata siasatan awal polis mendapati kereta dinaiki keluarga itu dalam perjalanan dari Ayer Hitam menghala ke Johor Bahru dan dipercayai cuba mengelak kenderaan lain sebelum hilang kawalan dan terbabas.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam Penolong Penguasa Bomba Asyraf Nur Mohd Yusoff berkata mereka menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan terbabit pada 10.56 malam.

Advertisement

Katanya satu jentera bersama lima anggota yang tiba di tempat kejadian mendapati seorang mangsa berada di bahagian tempat duduk penumpang dan seorang bayi telah tercampak keluar dari kereta tersebut.

“Anggota Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak mengeluarkan mangsa (Nagaranjini) yang berada di bahagian penumpang dan seterusnya menyerahkan mangsa yang meninggal dunia kepada polis untuk tindakan yang selanjutnya,” katanya.

Operasi tamat sepenuhnya pada 12.04 tengah malam, katanya.

Advertisement

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top