BM | EN | 中文

Ibu angkat kanak-kanak dystonia bersyukur sumbangan MP Pulai

Ibu-angkat-kanak-kanak-dystonia-bersyukur-sumbangan-MP-Pulai.jpg

JOHOR BAHRU, 17 SEPT: Adik Nur Afiah Mohd Hisham, 2 tahun, yang menghidap penyakit dystonia telah diziarahi oleh Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub di rumahnya di Kempas, Johor Bahru.

Salahuddin bersama rombongannya berkunjung ke rumah mereka pada sesi turun padang bertemu rakyat di kawasan parlimennya, semalam.

Menurut beliau, perasaan simpati menyelubungi dirinya apabila melihat kanak-kanak berusia 2 tahun tersebut terlantar bersama-sama tiub bantuan makanan akibat penyakit yang dihadapinya.

“Kita amat-amat bersimpati dengan apa yang terjadi terhadap adik Afiah. Sumbangan yang kita bawa ini sedikit sebanyak meringankan bebanan yang ditanggung oleh penjaganya.

“Saya telah menggerakkan jentera bagi membuat hubungan dengan penjaga adik Afiah ini bagi mengenal pasti kekurangan yang dihadapi keluarga ini dalam membesarkan Nur Afiah.

“Saya mendoakan agar keluarga ini mendapat rahmat serta kemudahan dalam menjaga serta membesarkan Afiah yang memang kita maklum bahawa tugas mereka bukannya mudah dalam menjaga kanak-kanak sebegini,” katanya ketika ditemui.

Mardiana Mohd Khalid

Dalam pada itu, ibu saudara Nur Afiah, Mardiana Mohd Khalid, 40, yang menjadi penjaganya selepas kematian ibu Nur Afiah bersyukur dengan kunjungan dari ahli parlimen itu.

Katanya, beliau berbesar hati dengan kehadiran Salahuddin ke rumahnya melawat anak saudaranya serta memberi sumbangan yang meringankan bebanan keluarga beliau.

“Sebelum ini tidak ada sumbangan yang diterima selain bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan orang-orang kampung sini sahaja.

“Pemimpin masyarakat hanya Salahuddin sahaja yang datang dan memang berkala dari Pusat Khidmat Ahli Parlimen Pulai terhadap Afiah.

“Saya berharap agar Datuk (Salahuddin) dimurahkan rezeki dapat membantu lebih ramai lagi mereka yang senasib dengan Afiah. Saya juga berterima kasih kepada seluruh jentera Pusat Khidmat yang sentiasa menyantuni kami sekeluarga di sini,” katanya lagi.

Johorkini

 

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top