JOHOR BAHRU, 19 JUN: Majlis Agama Islam negeri Johor (MAINJ) memaklumkan pelaksanaan ibadah korban hanya dilaksanakan di rumah sembelihan berdaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Johor dan Pejabat Perkhidmatan Veterinar daerah.
BH Online melaporkan, perkara itu dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Tosrin Jarvanthi, Mufti Johor Datuk Yahya Ahmad dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) Datuk Md Rofiki Samsudin.
Menurut kenyataan itu, ia meliputi urusan menyembelih, melapah, memotong, menimbang dan membungkus.
Katanya, MAINJ diperkenankan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, yang memutuskan bahawa pelaksanaan ibadah korban di masjid dan surau seluruh negeri Johor meliputi aktiviti terbabit adalah tidak dibenarkan.
“Jawatankuasa Pengurusan Kariah Masjid dan Surau yang menganjurkan ibadah korban atau pihak penganjur hendaklah berurusan dengan rumah sembelihan dan bertanggungjawab mengagihkan daging ibadah korban kepada penerima tanpa menggunakan kawasan masjid dan surau sebagai tempat agihan.
“Jawatankuasa terbabit atau pihak penganjur ibadat korban hendaklah memastikan haiwan yang hendak dikorbankan mematuhi syarak dan mempunyai Sijil Kesihatan Veterinar serta arahan lain yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Johor,” kata kenyataan itu.
Bagi pelaksanaan ibadah korban tahun ini, pusat penyembelihan yang berdaftar sebanyak 115 rumah sembelih sementara di negeri ini, 12 pemegang lesen swasta rumah penyembelihan (ruminan), lima rumah sembelih swasta sementara dan 10 Pejabat Perkhidmatan Veterinar di setiap daerah.
Waktu operasi rumah sembelihan berdaftar adalah tertakluk kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Johor dan Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah.
Johorkini