BM | EN | 中文

Hujan lebat sebabkan beberapa kawasan dinaiki air di Johor

banjir-kg-laut-JB.png
Advertisement

JOHOR BAHRU, 1 JAN: Hujan lebat yang berlarutan sejak awal pagi tadi telah menyebabkan beberapa daerah di negeri ini dinaiki air.

Di Johor Bahru, tujuh buah keluarga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas rumah mereka di di Kampung Laut, Batu 10, dinaiki air setinggi dua kaki.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Skudai Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Riduan Akhyar berkata kesemua tujuh keluarga terdiri daripada 14 lelaki, tujuh wanita, empat kanak-kanak dan seorang bayi itu dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan Batu 10.

Advertisement

Seramai 11 anggota dengan dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian pada 12.44 tengah hari tadi selepas menerima panggilan kecemasan, katanya menerusi kenyataan, di sini hari ini.

Di Kluang pula, sebanyak 12 buah rumah di kawasan Perumahan SPKR Yap Tau Sah, Kampung Palembang dan Kampung Contoh dinaiki air setelah hujan lebat hampir tujuh jam bermula 5 pagi tadi.

Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kluang berkata hujan berkenaan juga telah mengakibatkan beberapa jalan utama turut ditenggelami air dan hanya boleh dilalui oleh kenderaan berat.

Advertisement

Katanya antara jalan terbabit ialah Jalan Kluang-Mersing (berhampiran pasar raya Econsave); Jalan Mengkibol-Renggam; Jalan Batu 4-Mersing dan Jalan Kluang-Mersing (berhampiran pejabat Pertubuhan Peladang Negeri Johor, Kahang).

“Bagaimanapun, melalui tinjauan pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Kluang sekitar 2 petang tadi, keadaan air mulai surut dan pemantauan akan dilakukan dari semasa ke semasa.

“Buat masa ini belum ada lagi PPS dibuka dan keadaan banjir ini lebih kepada banjir kilat,” katanya dalam satu kenyataan berasingan.

Advertisement

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top