JOHOR BAHRU, 24 JAN: Kerajaan Johor berharap kerjasama dengan Singapura dapat dipertingkatkan bagi memanfaatkan lagi hubungan dan peluang ekonomi di antara kedua-dua negara.
Demikian antara persefahaman yang dicapai dalam pertemuan Exco Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti Johor, Jimmy Puah Wee Tse dengan Menteri Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan, baru-baru ini.
Menurut Jimmy, beberapa perkara dibangkitkan antaranya mengenai pengukuhan hubungan ekonomi dua hala, terutamanya dalam bidang pembangunan industri dan pelancongan.
“Negeri Johor turut meletakkan sasaran untuk menarik lebih syarikat Singapura yang ingin mengembangkan perniagaan yang terkekang akibat keluasan tanah yang terhad.
“Selain itu kerajaan negeri juga berusaha untuk menarik pelabur-pelabur berpotensi yang mahu menjadikan Johor sebagai destinasi optimum mereka untuk mengembangkan perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan, kelmarin.
Turut serta dalam pertemuan itu adalah Konsul Jeneral Singapura di Johor, Rajpal Singh.
Dalam pada itu, Jimmy berkata, perbincangan turut meliputi pembangunan Sistem Rapid Transit (RTS) di antara Johor Bahru dengan Singapura.
“Pembinaan RTS penting kepada rakyat Johor Bahru dan Singapura kerana ia merupakan projek yang akan menjadi pemangkin ekonomi Johor,” katanya.
Turut dibangkitkan lagi kata Jimmy adalah mengenai kapasiti infrastruktur bagi mengurangkan kesesakan para pengguna rentas sempadan di kawasan Singapura.
Dalam reaksi berhubung isu tersebut, Dr Vivian bersetuju merujuk perkara berkenaan kepada pihak berkuasa berkaitan republik itu dan yakin isu ini akan diselesaikan secara positif.
Jimmy yang juga ADUN Bukit Batu berkata, kedua-dua wilayah berjiran ini memiliki hubungan unik berdasarkan kedudukan geografi dan jalinan masyarakatnya.
“Justeru, kedua-dua belah pihak perlu terus memperkukuh hubungan demi manfaat dan kemakmuran bersama,” katanya lagi.
Johorkini
Jimmy (kiri) dalam pertemuan dengan Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan di republik itu baru-baru ini