BM | EN | 中文

HSS Engineers tender projek pengangkutan, pelabuhan dan air bernilai RM180 juta

HSS-Engineers.jpg

KUALA LUMPUR, 14 OGOS: Perunding pengurusan projek dan kejuruteraan, HSS Engineers Bhd sedang menender projek dalam sektor pengangkutan, pelabuhan dan air yang bernilai RM180 juta.

Naib Pengerusi Eksekutifnya Tan Sri Kuna Sittampalam berkata lebih 60 peratus daripada projek yang ditender melibatkan segmen rekabentuk kejuruteraan.

“Kami menyasarkan untuk memperkukuh nilai perolehan kontrak yang selanjutnya untuk membantu negara meneruskan fasa pembangunan ekonomi yang penting,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut Kuna, syarikat itu kekal optimis untuk melihat pemulihan semula pengangkutan bandar yang utama serta projek-projek infrastruktur, termasuk Transit Aliran Massa Lembah Klang Laluan 3, Transit Aliran Ringan (LRT) Bayan Lepas dan Sistem Transit Rapid Johor Bahru-Singapura.

Projek-projek lain termasuk LRT Kuching dan skim Pemindahan Air Antara Negeri (iaitu Skim Pemindahan Air Mentah Sungai Perak, Skim Bekalan Air Rasau, Kajian Grid Sarawak dan langkah mengurangkan air tidak terhasil).

Setakat 30 Jun 2020, nilai perolehan kontrak HSS Engineers yang belum dijelaskan berjumlah RM524.8 juta, termasuk kerja-kerja yang sedang dijalankan bagi Laluan Rel Pantai Timur, Bas Rapid Transit dan Skim Bekalan Air Langat 2 yang dijangka menyumbang kepada peluang pendapatan bagi tempoh dua hingga empat tahun akan datang.

Bagi separuh pertama yang berakhir 30 Jun 2020, syarikat itu mencatatkan keuntungan bersih RM4.9 juta berbanding kerugian bersih RM2.5 juta tahun lepas dengan pendapatan meningkat 15.1 peratus kepada RM82.8 juta berbanding RM72 juta sebelumnya.

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top