BM | EN | 中文

HSA sedia beri kerjasama isu makan durian di PPV

PPV-makan-durian-johor.png
Advertisement

JOHOR BAHRU, 22 JUL: Pihak pengurusan Hospital Sultanah Aminah (HSA) akan memberi kerjasama kepada polis berhubung dakwaan pelanggaran prosedur operasi standard ( SOP) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Jubli Intan Jalan Ayer Molek pada Ahad lalu.

Pengarahnya, Dr Mokhtar Pungut@ Ahmad berkata, pihaknya mengambil serius berhubung dakwaan pelanggaran SOP itu melibatkan beberapa individu kesihatan menikmati durian di PPV terbabit.

“Pihak pengurusan HSA akur dan akan memberikan kerjasama kepada polis yang menjalankan siasatan berhubung perkara terbabit.

Advertisement

“Pengoperasian PPV terbabit bermula pada 20 Jun lalu dan petugas PPV diingatkan untuk mengambil langkah-langkah pencegahan dan keselamatan bagi menjaga SOP yang ditetapkan,” katanya, lapor Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Mokhtar berkata, peringatan khusus kepada anggota yang terlibat dalam perkhidmatan perawatan serta vaksinasi sentiasa dilakukan oleh pihak pengurusan melalui mesyuarat, hebahan dan memo.

“Bagaimanapun pengoperasian pemberian PPV Dewan Jubli Intan akan tetap berjalan seperti biasa tanpa sebarang perubahan dengan mengamalkan SOP sedia ada,” katanya.

Advertisement

Ahad lalu, Polis Daerah Johor Bahru Selatan dalam kenyataan akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan sekumpulan individu berkumpul dan makan durian dipercayai di sebuah pusat pemberian vaksin (PPV) di bandar raya Johor Bahru seperti yang tular dalam media sosial.

Ketuanya, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain dilaporkan berkata, laporan polis berhubung dakwaan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) itu diterima pada jam 3.41 petang.

Johorkini

Advertisement

 

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top