ISKANDAR PUTERI, 30 NOV: Pembinaan Hospital Pasir Gudang yang akan dibina di Jalan Gunung, Bandar Seri Alam berjalan sepertimana yang dirancang.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Solihan Badri berkata, projek pembinaan Hospital Pasir Gudang yang dianggarkan berjumlah RM 500 juta itu telah pun ditutup tender pada 21 November 2019 yang lalu.
“Status terkini projek tersebut adalah di dalam peringkat jawatankuasa penilaian.
“Berdasarkan jadual perancangan, surat setuju terima (SST) akan dikeluarkan pada 13 April 2020,” kata Solihan.
Beliau berkata demikian menjawab soalan dibangkitkan Che Zakaria Mohd Salleh (PH-Permas) pada sesi penggulungan pada perbahasan Belanjawan Johor 2020 di Dewan Undangan Negeri Johor, Kota Iskandar, di sini, Khamis lalu.
Sementara itu kata Solihan, kerajaan negeri telah mencadangkan agar pembinaan jalan pintasan (by pass) bagi mengatasi kesesakan di Jambatan Mersing terutama ketika musim perayaan.
“Pihak Jabatan Kerja Raya Negeri telah mengenalpasti lokasi pembinaan Jalan Mersing bypass serta membuat anggaran kos yang berjumlah RM75 juta untuk perlaksanaan.
“Untuk makluman projek Mersing by pass ini telah dipohon dalam senarai keutamaan pada ((Rancangan Malaysia) RMK11 RP 5, tetapi tidak diluluskan.
“Walaubagaimanapun projek ini akan terus dipohon sebagai senarai keutamaan dalam RMK12,” kata Solihan.
Menjawab soalan K Raven Kumar (BN-Tenggaroh) berhubung kekurangan lampu jalan di persimpangan Tenggaroh ke Tanjung Leman Solihan berkata, permohonan peruntukan RM21 juta bagi cadangan program tahun 2019 masih belum diluluskan di peringkat kerajaan pusat.
“Jabatan Kerja Raya akan memohon semula dibawah program tahun 2020 bagi mengatasi masalah pencahayaan di laluan yang dimaksudkan dan akan memasang tiang lampu lampu setelah peruntukan diterima,” jelas Solihan lagi.
Johorkini