BM | EN | 中文

Hospital Pakar KPJ Pasir Gudang latih ‘rider’, OKU asas pertolongan cemas

KPJ.jpg

PASIR GUDANG, 30 OGOS:: Bagi menghargai jasa penghantar makanan yang turut menjadi barisan hadapan semasa Covid-19 melanda negara, Hospital Pakar KPJ Pasir Gudang menganjurkan majlis ‘Daripada Frontliner Kepada Frontliner’ bersempena Hari Kemerdekaan ke-63.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hazarul Azly Hamzah, bertepatan dengan tema kemerdekaan pada tahun ini iaitu Malaysia Prihatin, pihak hospital ingin menghargai pengorbanan para penghantar makanan yang turut berjuang semasa pandemik Covid-19 mula melanda negara pada bulan Mac lalu.

Katanya, atas keprihatinan dan tanggungjawab sosial korporat (CSR), pihak hospital mengadakan latihan asas kepada semua penghantar makanan mengenai rawatan awal pertolongan cemas bagi membantu mereka bertindak balas dengan lebih baik terhadap kemalangan ketika berada di jalan raya.

“Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan mereka inilah yang terus membantu rakyat Malaysia menghantar keperluan makanan demi tanggungjawab yang dipikul.

“Abang-abang Foodpanda, Grab Food dan lain-lain, mereka inilah yang menjadikan arahan “duduk di rumah” lebih bermakna, tanpa mereka sebilangan daripada kita mungkin berasa risau dengan wujudnya PKP.

“Para pekerja dihospital ini juga khususnya para jururawat kerap memesan makanan daripada Grab Food dan juga Foodpanda.

“Selain memudahkan urusan mereka, ia dapat menjimatkan masa tanpa perlu keluar untuk mencari makanan semasa waktu rehat yang suntuk kerana perlu memberikan rawatan kepada pesakit.”, katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, semangat Malaysia Prihatin dizahirkan bukan sahaja oleh mereka yang bertugas di barisan hadapan, malah rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat yang merupakan wira yang tidak didendang perlu dihargai.

“Ini adalah penghargaan pihak hospital kepada para penghantar makanan yang ada dalam kalangan mereka sanggup berkorban waktu dan tenaga demi kelangsungan hidup dan diharapkan mereka lebih berhati-hati ketika menjalankan tugas dan berada di jalanraya,” katanya lagi.

Pada majlis tersebut pihak hospital turut menerangkan asas pertolongan cemas yang disampaikan oleh Doktor Kesihatan Pekerjaan, Dr Ahmad Syafiq Ishak serta demonstrasi mengenai cara menggunakan setiap barangan yang terdapat di dalam kotak kecemasan yang dikendalikan oleh jururawat dari Jabatan Kemalangan dan Kecemasan.

Terdahulu, seramai 40 penghantar makanan dalam talian daripada Foodpanda dan Grab Food, termasuk orang kelainan upaya (OKU) pendengaran dan bisu diberi latihan pertolongan cemas.

Ia termasuk bantuan pernafasan kecemasan (CPR) dan bantuan asas hayat (BLS) diadakan dengan bantuan jurubahasa isyarat.

Johorkini

 

 

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top