BM | EN | 中文

Hospital Medan ATM di HSA ditutup sepenuhnya

Hospital-Sultanah-Aminah-Johor-Bahru-HSA-JB.jpg

Gambar Hiasan (Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru / Ehsan kinderasia.com)

JOHOR BAHRU, 20 DIS: Operasi Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ditempatkan di pekarangan Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini yang mula beroperasi sejak Jun lalu bagi menampung keperluan pesakit Covid-19 ditamatkan sepenuhnya, pada Selasa.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyanathan berkata, sepanjang tempoh berkenaan operasi hospital medan itu telah merawat seramai 1,592 pesakit Covid-19 bagi kategori satu hingga empat dari seluruh daerah di negeri itu.

“Hospital medan ini dibuka di pekarangan HSA dan mempunyai kapasiti sebanyak 60 katil wad serta empat katil unit rawatan rapi (ICU). Kemudian sekitar Ogos hingga Oktober, dimaklumkan sebanyak 16 katil telah ditambah bagi menampung bilangan kemasukan pesakit yang tinggi ketika itu.

“Penutupan hospital medan ini juga berikutan penurunan bagi kes Covid-19 di negeri Johor dan hospital yang ada sudah mampu menguruskan pesakit di wad masing-masing,” katanya, lapor Sinar Harian.

Vidyanathan berkata, dalam tempoh operasi hospital medan berkenaan, seramai 70 anggota tentera bersama 74 petugas HSA telah bersama-sama memberikan khidmat bakti bagi merawat pesakit dijangkiti wabak itu.

“Kerjasama yang baik dipamerkan oleh pelbagai agensi sepanjang pelaksanaan dan tempoh operasi hospital ini.

“Justeru, Kerajaan Negeri Johor juga ingin mengambil kesempatan untuk menzahirkan penghargaan serta ucapan tahniah kepada semua barisan hadapan dan agensi yang terlibat dalam operasi hospital medan ini,” katanya.

Setakat 19 Disember 2021, Johor merekodkan sebanyak 297 kes jangkitan Covid-19 dengan daerah Johor Bahru merekodkan jangkitan paling tinggi iaitu 79 kes.

Johorkini

 

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top