MUAR, 27 OKT: Kecaman terhadap Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Noor Hisham Abdullah perlu dihentikan segera kata Adun Maharani, Nor Hayati Bachok.
Katanya, tindakan itu tidak patut dilakukan kerana Dr Noor Hisham telah banyak berjasa kepada negara dalam menangani isu pandemik Covid-19.
“Serangan tersebut bukanlah berfakta. Hanya andaian semata. Menjadi kesalahan etika perubatan sekiranya Dr Noor Hisham sebagai pengamal perubatan yang baik menyembunyikan fakta sebenar dalam isu angka Covid 19 ini.
“Saya yakin Dr Noor Hisham tidak langsung terikat atau dipengaruhi dengan mana-mana badan atau individu yang berkuasa sehingga membuatkan beliau mengeluarkan kenyataan yang salah.
“Saya berharap serangan dan dakwaan kepada beliau perlulah dihentikan segera. Apa yang penting adalah kesihatan rakyat yang perlu ditangani terlebih dahulu,” kata Nor Hayati ketika dihubungi.
Beliau yang merupakan Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Johor, berharap akan ada tindakan terhadap mereka yang mengeluarkan sebarang serangan yang melulu terhadap Pengarah KKM itu.
Hayati turut mendesak agar dihentikan sebarang hebahan berbentuk seperti karikatur dan kenyataan sindiran terhadap Noor Hisham.
“Kita mahu Dr Noor Hisham terus memberikan fokus kepada isu Covid 19 ini. Sudah pastinya serangan dan dakwaan sedikit sebanyak mengganggu kerjanya.
“Saya berharap tindakan segera diambil bagi mengekang hebahan tersebut agar fokus terhadap pandemik Covid ini dapat diselesaikan dengan segera.
“Saya mendoakan kesejahteraan dan keselamatan Dr Noor Hisham serta seluruh ‘frontliners’ yang ketika ini sedang berjuang,” katanya lagi.
Johorkini