BM | EN | 中文

Hasrat TMJ perlu diperhalusi sebaiknya – Hamidin

Datuk-Hamidin-Mohd-Amin-FAM.jpg
Advertisement

KUALA LUMPUR, 18 JUN: Hasrat bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk memikul tugas dalam skuad Harimau Malaya perlu diperhalusi sebaiknya.

Dalam kenyataan hari ini, Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata FAM sebagai badan induk bola sepak negara mempunyai tatacara, prosedur, peraturan serta mesyuarat tertentu sebelum membuat sesuatu keputusan atau ketetapan.

Bagaimanapun, Hamidin berkata cadangan dikemukakan Tunku Ismail yang juga pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) berhubung skuad kebangsaan baru-baru ini diambil maklum FAM.

Advertisement

Isnin lepas, Tunku Ismail menerusi beberapa hantaran pada ruangan Insta Story dalam laman Instagram bertitah baginda menawarkan diri memikul tugas dalam skuad Harimau Malaya bagi membawa pasukan bola sepak kebangsaan itu mencapai kejayaan lebih besar.

Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu turut akan menyediakan kemudahan latihan dan jurulatih terbaik untuk pasukan kebangsaan.

Sementara itu, dalam kenyataan sama, Hamidin mengarahkan satu perbincangan mengenai isu pemain naturalisasi yang kini hangat diperdebatkan.

Advertisement

“Saya mengarahkan sekretariat FAM untuk perkara ini dibincangkan Jawatankuasa Program Naturalisasi FAM secara bersama dengan Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan FAM serta Pengarah Teknikal FAM Datuk Ong Kim Swee bagi mengkaji tentang keberkesanan program pemain naturalisasi ini,” katanya.

Dalam pada itu, Hamidin berkata Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM akan menunggu laporan penuh bedah siasat persembahan skuad Harimau Malaya sepanjang kempen pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang berakhir Rabu lepas.

Beliau berkata jawatankuasa sama turut menjangkakan laporan persediaan awal skuad kebangsaan bagi menghadapi pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 yang bakal bermula pada Februari tahun depan untuk dibincangkan dan diperhalusi dalam mesyuarat jawatankuasa berkenaan akan datang.

Advertisement

“Kesemua perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa yang berkenaan ini kemudiannya akan dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM untuk dimuktamadkan,” kata Hamidin.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top