BM | EN | 中文

Hasrat Johor beli vaksin tambahan sudah dinyatakan kepada Menteri Luar

cover-covid-johor-01.jpg
Advertisement

ISKANDAR PUTERI, 3 JUN: Hasrat Johor untuk mendapatkan bekalan vaksin tambahan dengan membeli sendiri dari negara lain telah dinyatakan kepada Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein baru-baru ini.

Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad berkata dalam cadangan tersebut, kerajaan negeri berhasrat membeli sebanyak 500,000 dos suntikan vaksin yang mendapat kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk kegunaan 250,000 penerima.

Hasni berkata antara negara yang dicadangkan untuk mendapatkan vaksin ialah Singapura dan China, yang mempunyai hubungan baik dengan Johor selama ini dan diharapkan dapat membuka jalan bagi kerajaan negeri memperoleh vaksin yang diperlukan untuk mempercepatkan proses vaksinasi.

Advertisement

“Kalau kuota Malaysia (mendapat vaksin) mungkin lambat lagi, dan Singapura boleh mendapatkan kuota (vaksin yang) mungkin lebih, disebabkan Johor dan Singapura sebagai satu jiran yang paling hampir saya percaya itu membolehkan Johor meninjau kemungkinan mendapatkan vaksin tambahan lebih cepat.

“Saya telah menyuarakan perkara ini kepada (Datuk Seri) Hishammuddin dan masalahnya bagaimana untuk memulakan rundingan.. Kerana ada prosedur tertentu yang saya andaikan, sepatutnya kedua-dua negara perlu bersetuju atau ikuti,” katanya dalam temu ramah eksklusif di pejabatnya, di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata pembelian vaksin tambahan itu akan menggunakan peruntukan kerajaan negeri dan pihaknya bercadang untuk bekerjasama dengan KPJ Healthcare Bhd bagi melengkapkan proses perolehan sehinggalah kepada pemberian vaksin kepada pihak yang memerlukan.

Advertisement

Ahli Dewan Undangan Negeri Benut itu berkata dengan adanya bekalan vaksin sendiri dengan membeli dari luar negara, kerajaan negeri menyasarkan lebih 20,000 suntikan vaksin dalam tempoh sehari dapat diberikan kepada rakyat Johor di 46 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negeri.

“Kami mahu berusaha untuk mencapai seramai mungkin (yang divaksin). Sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk Johor harus diberi vaksin untuk mencapai imuniti kelompok terhadap virus menjelang Oktober tahun ini,” katanya.

Ketika ditanya mengenai langkah untuk mempercepatkan proses vaksinasi kepada golongan warga emas susulan faktor fizikal badan dan ketiadaan pengangkutan untuk ke PPV selain tinggal di kawasan pedalaman, beliau berkata 10 pegawai daerah dan kira-kira 630 ketua kampung perlu memainkan peranan masing-masing dalam perkara ini.

Advertisement

Beliau percaya dengan adanya kerjasama daripada pelbagai pihak, masalah itu dapat diatasi, malah kira-kira 500 sukarelawan yang bertugas di PPV diharapkan bukan sekadar membantu mengenal pasti dan mendaftarkan kumpulan tersebut untuk vaksin, malah membantu daripada aspek menyediakan pengangkutan.

Ketika ditanya apakah Johor akan turut menyuarakan kepada China menggunakan pendekatan yang sama seperti Singapura untuk mendapatkan vaksin tambahan itu, Hasni berkata Hishammuddin menyatakan perkara itu akan dibincangkan di peringkat Persekutuan tidak lama lagi.

“Bukan hanya untuk mendapatkan vaksin tetapi juga mempertimbangkan (memiliki fasiliti) untuk melakukan ujian RTK-Antigen, RT-PCR. Di China, mereka dapat menguji 15 juta sehari… itu kapasiti mereka, jika mereka (mempunyai fasiliti) boleh menguji dua juta di Johor, jadi semua orang dapat diuji. Sekiranya kerajaan Persekutuan bersetuju dengan Hishammuddin, beliau telah menawarkan Johor untuk menjadi negeri pertama yang mendapat kemudahan seperti itu,” kata Hasni.

Advertisement

Menyentuh mengenai ‘IMMU Plan Johor’ pula, Hasni berkata sehingga 31 Mei tahun ini, seramai 109,581 permohonan diterima daripada rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dan daripada jumlah itu, hanya 80 peratus permohonan memenuhi kriteria termasuk syarat seperti mempunyai permit kerja sah dari republik itu.

“Kami maklum walaupun kerajaan Persekutuan masih dalam perbincangan dengan kerajaan Singapura untuk membuka semula sempadan, namun kami berharap lebih ramai petugas barisan hadapan ekonomi antaranya yang bekerja dalam sektor perindustrian dan peruncitan di republik itu mendaftar IMMU Plan Johor.

“Ini kerana jika ada jumlah permohonan yang ramai dan memenuhi kriteria yang ditetapkan bagi pemberian 100,000 dos vaksin ini, ia akan menjadi alasan yang kukuh untuk Johor berunding dengan kerajaan Persekutuan untuk mendapatkan lebih banyak vaksin tambahan,” katanya.

Advertisement

IMMU Plan, adalah inisiatif kerajaan negeri untuk membantu pekerja Malaysia yang mempunyai permit kerja sah di Singapura selain mempunyai surat tawaran kerja atau surat majikan di Singapura mendapatkan vaksin, mula dibuka pendaftaran sejak 29 April lepas.

Pada masa sama, Hasni berharap Singapura dapat menawarkan harga yang lebih rendah bagi kos kepada rakyat Johor yang perlu menjalani kuarantin selama 21 hari sebelum memasuki negara itu memandangkan kadar yang dikenakan pada masa ini dilihat membebankan rakyat Malaysia.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top