BM | EN | 中文

Hariss Harun tak lagi bersama JDT, kembali ke Singapura atas urusan keluarga

Harris-Harun-JDT.jpg

Gambar Ehsan FB Johor Southern Tigers

Advertisement

JOHOR BAHRU, 11 MEI: Johor Darul Ta’zim (JDT) sah melepaskan kaptennya Hariss Harun yang sudah bersama dengan pasukan itu sejak 2014.

Perkara itu diumumkan JDT menerusi satu kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook rasmi pasukan berkenaan, Johor Southern Tigers semalam.

Menurut kenyataan itu, JDT dan Hariss bersetuju menamatkan kontrak kerana menghormati keputusan pemain berkenaan untuk kembali ke Singapura atas urusan keluarga berikutan pandemik COVID-19 menyukarkannya berulang-alik secara kerap ke negara di seberang tambak itu.

Advertisement

Kenyataan itu memaklumkan Hariss, 30, menyertai skuad Harimau Selatan selepas menjulang gelaran Liga Super Malaysia bersama LionsXll dan kemudiannya memenangi tujuh lagi kejuaraan liga tersebut berturut-turut selain Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2015 dan sembilan trofi domestik lain.

“Hariss telah melakukan 197 penampilan, bermain 15,367 minit, menjaringkan 12 gol, melakukan lima bantuan jaringan dan sering kali mempertahankan benteng pertahanan daripada bahagian tengah buat JDT.

Hariss selayaknya digelar legenda JDT dan pintu di JDT sentiasa terbuka untuk apa jua khidmat beliau pada masa akan datang,’ menurut kenyataan itu.

Advertisement

Sebelum ini, tercetus khabar angin bahawa Hariss akan meninggalkan JDT, termasuk untuk melanjutkan pengajian di luar negara.

Sementara itu, pemilik kelab JDT Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam kenyataan berasingan menitipkan ucapan selamat maju jaya kepada pemain yang dianggap sebagai “tulang belakang” kepada pasukan selama ini.

“Beliau (Hariss) bersetuju untuk bersama-sama dengan kami ketika pasukan ini tidak mempunyai apa-apa.

Advertisement

“Tiada pusat latihan, tiada pengangkutan rasmi, tiada pejabat dan pelbagai lagi. Hari ini, JDT menjadi sangat berjaya dan Harris Harun menjadi bahagian yang penting dalam kelab ini,” titah baginda.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top