JOHOR BAHRU, 30 NOV: Organisasi Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadikan pemain senior dalam pasukan utama sebagai mentor kepada pemain-pemain muda, dalam usaha mempertingkatkan kualiti permainan mereka.
Antara pemain yang dilihat boleh menjadi sumber inspirasi kepada pemain-pemain muda termasuklah Farizal Marlias, Aidil Zafuan, Kunanlan, Hariss Harun, Cabrera dan Diogo.
Menurut kiriman yang dimuatnaik di laman Facebook rasmi Johor Southern Tigers, antara perkara yang akan mempengaruhi pemain-pemain muda dalam meningkatkan lagi mutu permainan berdasarkan gaya, karekter, prestasi dan pengalaman yang ada pada pasukan senior.
“Banyak kesan positif yang diperolehi dalam sesi latihan bersama dimana latihan itu adalah salah satu pelan tindakan yang telah dijalankan dalam merealisasikan racangan tersebut.
“Sesi latihan bersama telah menampakkan hasil kerana ia berjaya menyemarakkan lagi impian pemain-pemain muda ini untuk diserapkan dalam kesebelasan utama atau pasukan utama kelak,” kata status itu memetik laporan Media JST.
Selain itu, perancangan tersebut dilihat berjaya melahirkan pemain muda berbakat yang bercita-cita tinggi yang digilap oleh Harimau Selatan.
Antaranya termasuklah Safawi Rasid, Afiq Fazail, Adam Nor Azlin dan beberapa pemain muda yang kini berada pada prestasi yang mengagumkan.
Johorkini