BM | EN | 中文

Harimau berkeliaran di Mersing ditemui mati – KATS

IMG-20200305-WA0020.jpg
Advertisement

MERSING, 5 MAC: Seekor Harimau Malaya yang dilihat berkeliaran di Ladang Aramijaya, Mersing, Johor dengan kelibat haiwan itu tular dalam media sosial ditemui mati semalam di sebuah bukit dalam kawasan ladang itu.

Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) berkata, pasukan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Daerah Mersing yang menjejaki haiwan itu dimaklumkan penemuan bangkai harimau pada 12.30 tengah hari semalam oleh pengurus ladang.

“Hasil siasatan awal Perhilitan mendapati Harimau Malaya itu dipercayai telah mati dua hingga tiga hari lepas berdasarkan keadaan bangkainya yang mula mereput dengan siasatan awal tidak menemui sebarang kesan harimau ini mati ditembak, dijerat atau disebabkan oleh apa-apa perbuatan khianat yang lain.

Advertisement

“Pihak Perhilitan percaya punca kematian Harimau Malaya ini berkemungkinan disebabkan penyakit ‘Canine Distemper’ iaitu sama seperti penyakit yang dialami ‘Awang Besul’ (harimau belang) di Terengganu pada Julai 2019,” menurut kenyataan yang disiarkan di laman Facebook KATS, hari ini.

Dalam kenyataan sama KATS berkata, pengawalan, pemantauan serta penjejakan Harimau Malaya itu telah dilakukan selama tiga hari bermula 2 Mac sehingga 4 Mac termasuk pemasangan perangkap di kawasan yang dikenalpasti.

“Operasi memasang perangkap mendapat bantuan teknikal oleh kakitangan Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NRWC).

Advertisement

“Namun, pada hari ketiga operasi iaitu pada 4 Mac, Jabatan Perhilitan telah menerima maklumat daripada pengurus Ladang Aramijaya berhubung penemuan satu bangkai Harimau Malaya di atas sebuah bukit di dalam kawasan ladang tersebut,” menurut kenyataan tersebut.

Pada 1 Mac lepas, Perhilitan Negeri Johor menerima aduan daripada orang awam mengenai seekor Harimau Malaya dilihat merayau dalam kawasan Ladang Site 15, Ladang Aramijaya, Mersing, Johor.

Sepasukan kakitangan Perhilitan Mersing ditugaskan untuk mengawal kawasan ladang serta menyiasat kawasan persekitaran bagi mengambil tindakan susulan iaitu untuk menangkap dan memindahkan harimau ke tempat yang lebih selamat.

Advertisement

Dalam pada itu, doktor Veterinar dari Jabatan Perhilitan akan menjalankan bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian harimau itu.

KATS turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan Harimau Malaya untuk terus menghubungi Perhilitan di talian 1-800-88-5151.

Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top