JOHOR BAHRU, 22 APR: Sempena Hari Bumi yang disambut hari ini, Parti Amanah Negara (AMANAH) negeri Johor meletakkan harapan agar bumi sentiasa lestari terperlihara.
Melalui Pengerusi Biro Alam Sekitar dan Kelestarian AMANAH Johor, Rozita Abdul berkata, penularan wabak Covid-19 yang kini menjadi pandemik seluruh dunia adalah suatu hikmah untuk manusia memikirkan soal peri pentingnya menjaga alam sekitar.

Rozita Abdul
Katanya, seluruh manusia harus mengambil iktibar untuk memelihara alam ini dari terus menjadi ancaman kepada manusia itu semula.
“Pelbagai bencana yang kita telah hadapi sebelum ini seperti di Johor dengan isu pencemaran sungai, kerosakan hutan, kepupusan haiwan dan pelbagai lagi.
“Ini mendatangkan permasalahan pada ekosistem kehidupan manusia. Akhirnya akibat dari memakan haiwan eksotik seperti kelawar dan sebagainya hari ini, padah telah menimpa seluruh dunia.
“Perkara ini jelas untuk kita sebagai manusia untuk muhasabah semula dengan bumi tempat kita berteduh ini agar tidak lagi dicemari dengan budaya perosak kerana memikirkan soal kepentingan diri semata,” katanya ketika dihubungi JohorKini.
Beliau dalam pada itu turut memberi pandangan bahawa penularan Covid-19 yang melanda dunia hari ini secara langsung telah menghentikan aktiviti manusia serta memulihkan sementara alam sekitar.
“Kehadiran Covid-19 ini seperti memberi rahmah kepada bumi untuk memulihkan kerosakan yang berlaku selama ini oleh tangan-tangan manusia.
“Harapan kami adalah untuk kita hari ini menilai semula penting penjagaan alam sekitar dan juga harapan kami adalah untuk kita sama-sama menjaga serta memeliharanya semula.
“Kita harus mengambil kesempatan untuk terus berakhlak dengan bumi, mengurangkan pencemaran dan menjaga kebersihan serta mengamalkan sikap cintai alam sekitar,” katanya.
Johorkini