JOHOR BAHRU, 5 SEPT: Bertemakan ‘Sehati Kluang Sejiwa Rakyat’, Hari Amal Antarabangsa Kluang bakal berlangsung selama dua hari, dari 14 dan 15 September ini, bertempat di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Kluang.
Adun Mengkibol, Chew Chong Sin berkata, program tersebut merupakan satu perkongsian platform bagi membolehkan badan amal terlibat mempamerkan pencapaian, sasaran, skop dan sumber yang diperlukan setiap organisasi tersebut.
“Program ini juga membantu komuniti yang rapuh secara sosial untuk bertemu, memohon bantuan dan memperkenalkan organisasi mereka kepada masyarakat,” katanya apabila dihubungi Johorkini, hari ini.
Antara aktiviti yang diaturkan termasuk senamrobik, zumba, kempen derma darah, pertandingan kreative mewarna, ceramah kesedaran awal jenayah seksual kanak-kanak dan persembahan pentas.
Menurut Chong Sin, program ini, yang kalai kedua dianjurkan, merupakan program kerjasama oleh Pejabat Adun Mengkibol, Majlis Pembandaran Kluang, Pejabat Daerah Kluang, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Komuniti Harapan Malaysia Yap Tau Sah Kluang.
Tambahnya lagi, program tersebut juga bakal dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Pada tahun lepas, sejumlah 20,000 pengunjung hadir ke program tersebut dengan kutipan amal yang dikumpul berjumlah kira-kira RM80,000.
Johorkini