JOHOR BAHRU, 17 OKT : Kerajaan haruslah menghargai usaha pihak swasta yang mengambil inisiatif membina ekosistem lengkap terutamanya untuk melahirkan lebih ramai pekerja yang berkemahiran dan mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti.
Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse berkata, melalui kewujudan Blockchain Village di Medini (BVAM), di sini beliau dapat melihat ianya akan memberi galakan dan lonjakan dari segi kualiti dan kuantiti pekerjaan.
Katanya, misalnya sebanyak 5,000 lebih peluang pekerjaan dapat dilahirkan dengan purata pendapatan sebanyak RM6,700 melalui BVAM.
“Kita dapat saksikan pelajar dari universiti tempatan yang diserap dilatih BVAM dan akan diberi penginapan dengan gaji permulaan yang baik dalam usaha membantu pelajar kita mendapat pekerjaan berkualiti.
“Itu adalah antara impak paling besar yang kita nampak melalui BVAM ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena pelancaran i2M’S BVAM di Hotel Ramada, Meridin, di sini.
Majlis itu disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal, semalam.
Jimmy yang juga Adun Bukit Batu berkata, pihaknya amat menggalakan lebih banyak syarikat datang melabur di BVAM dan juga kawasan lain dalam Johor.
“Apabila negeri ini mempunyai ekosistem lengkap maka akan lebih ramai pelabur datang sekali gus menarik lebih ramai orang yang berkemahiran datang ke Johor kerana tahu di sini mereka mampu memperolehi pekerjaan yang berkualiti.
“Saya pergi ke luar negeri bertanya di mana mereka hendak melabur. Mereka katakan mana-mana pun boleh asalkan ada pekerja berkemahiran.
“Sebab itu kenapa kita amat menghargai dan agresif mendapatkan lebih banyak pelaburan bukan sahaja dari kuantiti tapi kita juga cari pelaburan yang berkualiti,” katanya.
Tambahnya lagi, apabila teknologi macam BVAM ini bertapak di sini kita amat gembira kerana ada syarikat seperti ini yang sama-sama dalam membina ekosistem dalam industri perkhidmatan.
“Kita harap usaha dilakukan dapat tingkatkan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) bagi industri perkhidmatan negeri pada 2020 melepasi 50 peratus berbanding 49 peratus sebelum ini,” katanya lagi.
JohorKini