BM | EN | 中文

Hargai pekerja pembersihan dengan cara kitar semula, tak buang sampah merata

pekerja-SWM-Environment.jpg

Pekerja Kebersihan (Gambar Ehsan SWM Environment)

Advertisement

JOHOR BAHRU, 17 JUN: Antara cara untuk menghargai peranan dan sumbangan pekerja pembersihan adalah dengan mengamalkan sikap yang murni dengan menguruskan sisa pepejal secara tertib, tidak membuang sampah merata-rata dan mengamalkan kitar semula.

ADUN Skudai Tan Hong Pin menyerahkan pek bantuan kepada wakil pekerja pembersihan

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Skudai Tan Hong Pin berkata orang ramai perlu membudayakan kaedah sifar sisa, termasuklah pengasingan sisa pepejal di punca dan 3R (mengurang, mengguna semula dan mengitar semula).

“Amalan-amalan murni ini bukan sahaja memudahkan kerja para pekerja pembersihan di lapangan malah turut bersama melestarikan pengurusan sisa pepejal di negeri Johor.

Advertisement

“Di Johor, anggota pembersihan inilah yang menguruskan sekitar 3,600 tan sampah dihasilkan kita semua.

“Tanpa mereka yang komited dan berdedikasi, kita semua pastinya berada dalam keadaan yang tidak selesa untuk menjalani rutin harian,” kata Hong Pin dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau terdahulu mengucapkan syabas kepada Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) kerana mengenengahkan sambutan Hari Pekerja Pembersihan yang diraikan di peringkat antarabangsa pada 17 Jun setiap tahun di Malaysia.

Advertisement

Katanya, tarikh dan sambutan ini asing dalam masyarakat kita meskipun peranan pekerja pembersihan tersebut amatlah penting dalam memastikan kebersihan dan kesejahteraan persekitaran.

“Sambutan ini amat wajar diraikan bagi meraikan peranan wira tidak didendang (unsung heroes) sebaris dengan wira-wira perkhidmatan perlu (essential service) di barisan hadapan yang lain – seperti anggota kesihatan dan keselamatan.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh pekerja pembersihan yang komited dalam menguruskan sisa pepejal dan kebersihan awam merentasi batas waktu, cuaca dan keadaan sekalipun termasuk mereka yang bertugas di tapak-tapak pelupusan,” katanya.

Advertisement

Dalam pada itu, beliau melalui Pusat Komuniti Skudai turut menyediakan pek saguhati berbentuk barangan keperluan dapur untuk diagihkan kepada pekerja pembersihan yang bertungkus-lumus mensejahterakan kawasan DUN Skudai.

Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top