BM | EN | 中文

Harga median unit kediaman bertingkat di Iskandar Malaysia merosot 8.9 peratus

Iskandar-Malaysia_Property-Guru.png

Gambar Ehsan Property Guru

Advertisement

KUALA LUMPUR, 22 OKT: Harga median unit kediaman bertingkat di Iskandar Malaysia merosot 8.9 peratus tahun ke tahun kepada RM573,931 atau RM577 sekaki persegi (psf) pada suku ketiga 2020, menurut data daripada Banci Hartanah Iskandar.

Dalam kenyataan, Datamine Malaysia berkata kawasan Puteri Harbour mencatatkan harga tertinggi sebanyak RM979,125 atau RM888 psf diikuti Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Johor Bahru pada RM836,125 atau RM921 psf.

JB Inner City menyaksikan harga median pada RM694,749 atau RM595 psf, JB Outer City pada RM394,266 (RM423 psf), Danga Bay pada RM648,500 (RM534 psf), Iskandar Puteri pada RM434,714 (RM491 psf), Medini pada RM645,598 (RM773 psf) dan Pantai Tebrau pada RM494,520 (RM491 psf).

Advertisement

“Pandemik telah menjejaskan pasaran yang sedia lemah dan menyaksikan lima daripada lapan kawasan mencatatkan penurunan harga. Pengesahan pelaksanaan Rapid Transit System (RTS) antara Singapura dan Johor, Malaysia pada suku ketiga terus mendorong pengurangan harga untuk kawasan CIQ.

“Hartanah dengan harga median tertinggi di kawasan CIQ ialah Suasana pada RM1,320,000 atau RM1350 psf dan Tri Tower pada RM1,180,000 atau RM1253 psf manakala terendah ialah Skysuites pada RM635 psf dan V Summerplace pada RM748 psf yang dapat dilihat di www.iskandar-property.my,” kata Ketua Penyelidikannya, Jerren Lai.

Sementara itu, Lai berkata harga median CIQ dijangka mencecah 30 peratus di bawah harga hartanah persendirian Woodlands di Singapura selepas siap RTS.

Advertisement

Harga median Woodlands sebanyak SG$799 psf atau RM2400 psf (berdasarkan RM3:SG$1) mengikut sumber Urban Redevelopment Authority (Singapore URA 2020) terkini. Ini membawa kepada unjuran harga untuk CIQ sebanyak RM1700 psf.

“Unjuran ini bergantung kepada kecekapan sistem pelepasan imigresen RTS yang baharu. Dari Woodlands North ke kawasan Orchard, ia hanya mengambil masa 36 minit dalam laluan Thompson MRT yang akan datang.

“Jika pelepasan imigresen dan perjalanan sejauh empat kilometer dari CIQ ke Woodland North mengambil masa kira-kira 25 minit, justeru, permintaan dari Singapura akan mengatasi hartanah Iskandar jika ia memerlukan kira-kira satu jam dari JB untuk sampai ke kawasan Orchard,” katanya.

Advertisement

Lai menyatakan kekecewaan apabila pembuat keputusan memilih LRT berbanding MRT dengan kapasiti lebih tinggi menggunakan kereta api sedia ada Singapura berikutan pertimbangan kos.

“Infrastruktur seperti ini memacu permintaan yang bukan hanya menyelesaikan kemelut perumahan tetapi membuka pintu kepada warga Singapura untuk masuk ke Iskandar yang mempunyai kesan pengganda amat besar kepada ekonomi,” katanya.

Penyelidikan Banci Hartanah Iskandar menjejaki unit kediaman bertingkat di Iskandar Malaysia sejak 2012.

Advertisement

Ia menggunakan data banci berbanding sampel, memberikan statistik yang penting kepada pelabur dan perancang bandar untuk membuat keputusan tepat mengenai keperluan mereka. Harga, penawaran dan permintaan terkini, hotspot dan unjuran dapat dilihat di laman webnya.

Bernama

 

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top