PONTIAN, 7 NOV: Para nelayan di pengkalan jeti Sungai Durian berharap agar calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini dapat membela nasib mereka sekiranya dipilih sebagai Ahli Parlimen Tanjung Piai kelak.
Pengerusi Nelayan Pengkalan Sungai Durian, Nor Khairul Nizam, 39, berkata, antara isu yang menjadi keutamaan nelayan di jeti tersebut adalah kelulusan lesen nelayan.
“Risiko, bila tidak ada lesen. Yang berlesen dah ‘covered’ (diliputi) insurans. Kalau apa-apa hal terjadi di laut, ada insuran. Kalau yang tak ada… ‘katak’ sahajalah.
“Kita tidak mahu nelayan tak berlesen dipinggirkan,” kata Nor Khairul ketika ditemui pada program ramah mesra sempena pertandingan domino terbuka nelayan Sungai Durian di pengkalan jeti Sungai Durian, malam tadi.

Nor Khairul
Difahamkan, pangkalan jeti Sungai Durian tidak termasuk di antara 17 projek naiktaraf infrastruktur di Parlimen Tanjung Piai yang diluluskan kerajaan.
Namun Khairul memberitahu Johorkini, para nelayan pengkalan jeti di situ telahpun menghantar kertas cadangan bagi kerja penambahbaikan.
Antaranya bagi pembinaan jambatan, naiktaraf jeti dan pembinaan kedai makan.
“Kalau ikut janji arwah (Allahyarham Dr Md Farid Rafik) jeti Sungai Durian akan dapat (peruntukan) tahun depan. Sebab untuk 2019 , tiga pangkalan didahulukan,” katany
Tambahnya, sebaik jambatan Sungai Pulai siap pada 2021 akan mengakibatkan tekanan pembangunan, justeru persiapan untuk nelayan mengambil manfaat ekonomi dari projek tersebut diperlukan.
“Dari Johor Bahru ke sini hanya 15 minit. Kalaulah ada pembangunan untuk nelayan berniaga, buka kedai makanan laut, sewakan (bot), persatuan kami ada pendapatan lain.
“Itu yang kami harapkan. Kalau Haji Karmaine naik jadi Ahli Parlimen Tanjung Piai selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) di sini bantulah kami,” katanya lagi.
JohorKini