JOHOR BAHRU, 22 MAC: Kumpulan atau golongan yang mempertahankan darurat di negara ini dilihat sebagai penakut dan tidak bertanggungjawab, kata Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Aminolhuda Hassan.
Beliau berkata, proklamasi darurat yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin Januari lalu hanya menjadi perisai untuk menyembunyikan golongan penakut di belakangnya.
“Jika mereka berpendirian untuk berkeras mempertahankan proklamasi darurat, jelas bahawa Muhyiddin dan kabinetnya adalah golongan yang penakut.
“Sekiranya mereka cukup bilangan sokongan dan berdiri sebagai kerajaan prihatin, mengapa disekat institusi yang mewakili suara rakyat di negara ini.
“Jelas mereka (kerajaan Perikatan Nasional) memang penakut.
“Saya cabar mereka untuk buka semula ruang legislatif di negara ini,” katanya kepada wartawan.
Adun Parit Yaani itu turut menjelaskan betapa pentingnya peranan ahli parlimen dan Adun untuk mengangkat suara rakyat ketika ini.
Sebagai contoh kata Aminolhuda lagi, rakyat akan melihat kesannya sekiranya wujud komunikasi dua hala yang akan memperjuangkan nasib rakyat.
“Contohnya seperti Belanjawan 2021, apabila suara pembangkang yang bersungguh menekankan hal kepentingan rakyat, akhirnya kesan positif terhadap perkara itu dapat dirasai.
“Ia turut berlaku di Johor. Itulah penting suara dua hala untuk semak dan imbang.
“Cuba lihat apa perkara yang berlaku dalam negara apabila rakyat terus teraniaya oleh undang-undang sebelah pihak, akhirnya rakyat menjadi mangsa kerana wujudnya suara sehala atau boleh dikatakan sebagai diktator,” katanya lagi.
Semalam Aminolhuda turut mengadakan kempen ‘Tamat Darurat’ bersama pimpinan Pakatan Harapan (PH) Johor di pejabat Amanah Johor di sini.
Johorkini