BM | EN | 中文

Hanya 75 sen peruntukan setiap seorang di Kota Iskandar

gmbr-fail-dzulkefly-ahmad.jpg

ISKANDAR PUTERI, 11 SEPT: Kerajaan hanya memperuntukkan purata seorang RM0.75 sen bagi setiap seorang di DUN Kota Iskandar, kata Adun kawasan itu, Dzulkefly Ahmad.

Beliau dalam perbahasan di Dewan Undangan Negeri semalam berkata RM 20,000 kepada setiap DUN tidak mencukupi bagi menampung kebajikan keluarga yang mudah terkesan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“DUN Kota Iskandar terdapat 67,000 orang pengundi. Jika mengikut Struktur Taburan Pendapatan Isirumah di Malaysia (B40, M40 dan T20), golongan B40 di Kota Iskandar hanya mendapat peruntukkan 75 sen seorang sahaja daripada RM 20,000 tersebut.

“Golongan yang mudah terkesan dengan perlaksanaan PKP adalah B40 yang tiba-tiba hilang pekerjaan dan sumber kewangan utama keluarga.

“Mereka ini kebanyakannya adalah merupakan pekerja yang menerima upah secara harian seperti peniaga kecil-kecilan di tepi jalan, pekebun sayuran atau petani di kampung-kampung, penoreh getah, tukang rumah dan buruh kasar.

“Kebanyakan mereka tidak mempunyai caruman KWSP untuk dikeluarkan sebanyak maksima RM 500 sebulan dari akaun 2 selama 12 bulan,” kata Dzulkefly.

Tambahnya golongan B40 tiada caruman PERKESO yang membolehkan mereka mendapat elaun RM 600 sebulan jika diarahkan mengambil Cuti Tanpa Gaji (CTG) oleh majikan sepertimana yang diumumkan oleh kerajaan.

Dzulkefly yang juga Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor mencadangkan kerajaan Johor mengurangkan karenah birokrasi bagi meningkatkan kualiti sistem penyampaian kepada rakyat.

“Sebagai contoh pengedaran barangan keperluan makanan asas dari peruntukan bank makanan yang diselaraskan oleh Pejabat Daerah mengambil masa yang lama untuk sampai kepada kumpulan sasaran yang mudah terkesan dengan perlaksanaan PKP.

“Di Kota Iskandar bantuan dari Pejabat Daerah Johor Bahru hanya diterima oleh kumpulan sasaran pada hari ke 12 PKP dilaksanakan.

“Begitu juga dnegan bantuan tunai antara RM 250 hingga RM 500 di bawah Skim Pemberian Tunai Bantuan Ihsan Covid 19 Negeri Johor.

“Pegawai dari Pejabat Adun telah dilantik pada bulan April sebagai pegawai pusat berkenaan bagi memasukkan data dalam e-Ihsan Johor secara atas talian.

“Malangnya peratusan yang berjaya mendapat bantuan tunai tersebut jauh lebih rendah daripada jumlah bilangan permohonan.

“Dalam masa yang sama proses kelulusan serta pembayaran kepada akaun pemohon yang berjaya mengambil masa yang lama,” katanya lagi.

Johorkini

 

 

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top