BM | EN | 中文

HAD UMUR MINIMUM PERKAHWINAN: JOHOR BELUM BUAT KETETAPAN PINDA ENAKMEN

gmbr-fail-tosrin.jpg
Advertisement

ISKANDAR PUTERI, 25 NOV : Setakat ini, kerajaan negeri belum membuat sebarang ketetapan bagi meminda enakmen berkaitan penetapan had umur minimum perkahwinan di Johor.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Tosrin Jarvanthi memberitahu, perbincangan mengenainya akan dilakukan di peringkat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ).

Katanya, hasil mesyuarat kemudiannya akan dipersembahkan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bagi mendapatkan pandangan serta nasihat.

Advertisement

“Kerajaan negeri, setakat ini belum mengambil sebarang keputusan berhubung perkara itu di peringkat pusat (mengenai pindaan had umur perkahwinan).

“Saya hendak tegaskan Johor belum lagi mengambil sebarang keputusan (mengenai pindaan had umur perkahwinan).

“Insya-Allah, saya akan bawa ke Majlis Agama Islam Johor dan kita persembahkan dahulu kepada tuanku untuk mendapatkan nasihat,” katanya ketika ditemui wartawan di luar Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-14 di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Advertisement

Tosrin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa bahawa kerajaan akan memperkenalkan satu modul yang menetapkan Prosedur Operasi Standard (SOP) ketat untuk mengehadkan umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun.

Mujahid berkata modul itu yang sedang disiapkan merupakan garis panduan untuk dipatuhi oleh semua negeri mengenai perkahwinan dan adalah menjadi satu kesalahan dari segi undang-undang jika SOP itu tidak diikuti.

Adun Bukit Permai itu memberitahu, penerimaan atau pelaksanaan sebarang modul baharu diperkenalkan kerajaan persekutuan itu akan diputuskan selepas ketetapan dibuat diperingkat kerajaan negeri.
Selasa lepas, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memberitahu, Dewan Rakyat kerajaan sedang menyiapkan Draf Pelan Strategik Kebangsaan bagi menangani isu perkahwinan bawah umur.

Advertisement

Draf itu akan membabitkan pindaan kepada Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 [Akta 303] dengan menetapkan umur minimum perkahwinan bagi wanita kepada 18 tahun.

JohorKini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top