BM | EN | 中文

Guru kritikal ditetak ketika hendak ke sekolah

polis.jpg

KLUANG, 12 FEB : Seorang guru di Taman Seri Impian, di sini kritikal selepas ditetak di hadapan rumahnya disyaki akibat motif dendam.

Mangsa dikatakan baru keluar rumah untuk bergerak ke tempat kerja di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Perdana, Kluang.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail dalam satu kenyataan berkata, mangsa merupakan seorang lelaki berusia 37 tahun.

Katanya, pihak polis menerima maklumat kejadian itu pada jam kira-kira jam 7.13 pagi dari seorang lelaki yang memaklumkan satu kejadian tetak berlaku di hadapan sebelah rumah jirannya.

“Keterangan saksi diambil mendapati semasa saksi berada di dalam rumah telah terdengar jeritan kuat di sebelah hadapan rumahnya. Pengadu terus keluar rumah melihat jirannya mangsa sedang ditetak oleh tiga lelaki bangsa tidak pasti.

“Ketiga- tiga suspek memakai topeng muka dan menggunakan parang menetak mangsa beberapa kali dibahagian kepala, tangan dan kaki.

“Suspek yang menaiki kereta Myvi putih bagaimanapun tidak merosakkan atau melarikan barangan mangsa, motif dipercayai berdendam. Tempat kejadian merupakan kawasan rumah jenis banglo setingkat,”katanya.

Tambahnya, keadaan mangsa kritikal dan kini sedang ditahan di wad untuk rawatan dan pembedahan.

Katanya, pegawai perubatan mengesahkan mangsa mengalami cedera parah iaitu retak dibahagian kepala, kedua belah tangan dan kaki terdapat kesan tetakkan dengan objek tajam.

“Pihak forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor turut dipanggil untuk membantu siasatan tempat kejadian dan berjaya menimbulkan dua cap jari dan juga mengambil swab darah. Punca kejadian masih dalam siasatan,”katanya lagi.

 

JohorKini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top