MUAR, 25 APR: Kesal dengan kenyataan dari salah seorang pelajar yang mendakwa seorang guru lelaki berbentuk lucah di kelasnya, Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Johor hari ini mendesak agar siasatan dibuat.
Naib Ketuanya, Norhayati Bidin sependapat dengan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik yang meminta siasatan terhadap dakwaan pelajar itu segera diadakan.
Tegas Norhayati lagi, tindakan guru tersebut seperti mempermainkan pelajar perempuan di sekolahnya serta menggambarkan pelajar wanita adalah sebagai pemuas nafsu lelaki.
“Kenyataan ini adalah sebahagian pendidikan terhadap perlakuan jenayah dan ini bukan perkara yang boleh dipermainkan lebih lebih lagi oleh seorang yang bergelar sebagai pendidik.
“Siasatan perlu segera dijalankan bagi tujuan mencegah dari perlakuan seperti ini terus berleluasa dan menjadikan pelajar wanita sebagai bahan gurau seksual yang melampau.
“Sebagai seorang guru, mereka tidak sepatutnya menjadikan perkara tersebut sebagai bahan gurauan. Ini perkara sensitif dan melalui kenyataan pelajar tersebut, gurauan guru itu membuatkan pelajar wanita lain terkejut dan terganggu secara emosi,” tegasnya kepada media.
Semalam media melaporkan seorang remaja perempuan mendakwa seorang guru lelaki membuat jenaka mengenai rogol ketika dalam kelas sehingga mencetuskan kemarahan di media sosial.
Ain Husniza Saiful Nizam, 17, menyatakan kata-kata yang tidak menyenangkan itu dibuat semasa pelajar membincangkan tentang gangguan seksual semasa kelas pendidikan jasmani dan kesihatan di sekolahnya yang terletak di daerah Kuala Selangor, semalam.
Menegaskan perkara itu lagi, Norhayati meminta Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin untuk membuat penilaian terhadap tahap kesihatan mental guru hari ini.
Tambahnya, sebelum ini terdapat isu yang mengaibkan pelajar wanita di sekolah yang berlainan yang perlu menjalani pemeriksaan darah haid mereka sebagai bukti mereka tidak perlu menjalankan ibadah solat.
“Menteri perlu bertanggungjawab dan tidak membiarkan perkara ini berterusan gagal dibendung.
Tindakkan gangguan seksual ini perlu dihentikan dan tindakkan tegas perlu diambil kepada pelaku-pelaku tersebut” tegasnya lagi.
Johorkini