BATU PAHAT, 25 JUL: Tindakan pemimpin Barisan Nasional (BN) di Johor menggunakan kenderaan serta fasiliti kerajaan adalah tidak beretika, kata Pengarah Komunikasi dan Multimedia Parti Amanah Negara (AMANAH) Noor Khalim Sakib.
Beliau yang menyelar perbuatan tersebut berkata, kerajaan Johor pimpinan Dato Hasni Mohamed perlu menghentikan perbuatan tersebut.
“Bantuan makanan yang mahu diberikan bukan mengira soal latar belakang parti dan bukan masanya untuk berkempen kepada rakyat.

Noor Khalim Sakib
“Menggunakan fasiliti kerajaan seperti kenderaan dan sebagainya adalah perbuatan yang perlu dikutuk sekerasnya
“Sepatutnya tolak dulu mana-mana kempen politik. Utamakan dulu soal perhatian terhadap rakyat di negeri ini,” katanya.
Baru-baru ini tular di media sosial gambar dan video seorang ahli majlis BN menggunakan lori dan pekerja Majlis Bandaraya dalam program parti itu.
Tambah Khalim lagi, kerajaan Johor perlu menjawab serta mengambil tindakan tegas dengan penyalahgunaan kuasa yang berlaku terhadap ahli parti mereka.
“Hasni merupakan Pengerusi BN Johor. Beliau perlu bertanggungjawab untuk memberi amaran atau mengambil tindakan kepada ahli mereka yang menyalah gunakan kuasa.
“Perkara ini perlu disiasat sama ada pihak MBJB terbabit. Sekarang bukan masa yang betul untuk semua pihak menjadi kuli kepada mana-mana parti politik.
“Kita juga mempertikaikan sama ada MBJB kini membuat perkhidmatan sewa lori atau memberi percuma kepada BN dan sebagainya.
“MBJB perlu menjawab hal ini,” katanya lagi.
Johorkini