BM | EN | 中文

Golongan berisiko tak digalak ke stadium

Reezal-Merican-Naina.jpg
Advertisement

PUTRAJAYA, 20 MAC: Golongan warga emas dan kanak-kanak tidak digalakkan menonton perlawanan bola sepak apabila kebenaran kehadiran penonton ke stadium bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) berkuat kuasa 1 April ini.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata ketika ini, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sedang memperhalusi kaedah dan prosedur operasi standard (SOP) berhubung kebenaran kehadiran penonton ke stadium.

Menurut beliau, pihaknya tidak pernah menghalang kumpulan berisiko dijangkiti Covid-19 menonton perlawanan di stadium, malah tiada undang-undang melarang warga emas dan kanak-kanak berbuat demikian.

Advertisement

“Ada macam-macam yang akan diperhalusi antaranya penjualan tiket yang mesti dilakukan secara dalam talian, dari segi perniagaan trak makanan juga masih ada SOP perlu dipatuhi termasuk juga soal kehadiran kanak-kanak.

“Kanak-kanak tidak digalakkan pergi walaupun tiada undang-undang yang boleh menghalang mereka untuk pergi, sama seperti untuk golongan 60 tahun ke atas. Ini kumpulan dianggap yang mudah (dijangkiti) dan terdedah,” katanya, lapor Bernama.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Penyerahan Surat Pelantikan Jawatankuasa ‘Panel of Experts’ KBS di sini, semalam.

Advertisement

Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri dan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras menjadi dua venue terawal yang bakal menerima semula kehadiran penonton masing-masing pada 2 dan 3 April apabila saingan Liga-M kembali bersambung selepas jendela perlawanan antarabangsa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) hujung bulan ini.

Kedua-dua stadium itu yang merupakan gelanggang tuan rumah pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuala Lumpur City FC dipilih menjadi projek perintis menilai keberkesanan protokol pengurusan penonton.

Reezal Merican berharap penyokong dapat mematuhi SOP ditetapkan dan menjaga tingkah laku semasa berada di stadium supaya protokol pengurusan penonton dapat dibuktikan keberkesanannya kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Advertisement

“POC (bukti konsep) ini amat penting. Jika saya seorang bercakap untuk menyakinkan kerajaan tidak cukup, saya minta juga sokongan daripada kalangan peminat sukan dalam usaha KBS menyemarakkan kembali kerancakan penonton ke stadium.

“Kalau mereka (penonton) gagal menunjukkan testimoni yang menyakinkan, barangkali ia tidak akan menjadi realiti untuk perlawanan berikutnya,” jelas beliau.

Terdahulu, Reezal Merican menyerahkan surat pelantikan kepada 25 individu yang menganggotai Jawatankuasa ‘Panel of Experts’ dengan mantan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Borhan Dolah dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa itu.

Advertisement

Beliau berkata pelantikan itu sebagai satu lagi kolaborasi strategik KBS dalam mendapatkan idea dan pandangan segar berhubung pembangunan belia dan sukan negara.

Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top