MERSING, 30 JUN: Golongan agamawan hari ini sepatutnya meredakan tekanan dan kemurungan dihadapi rakyat dan tidak membiarkan aspek kerohanian terabai tanpa panduan.
Pengarah Hal Ehwal Syariah Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor, Mohd Azam Razak meluahkan rasa sedihnya apabila mendapati sebilangan agamawan Islam tidak melibatkan diri menasihat dan mengawal emosi rakyat.
Katanya, kebanyakan pemimpin dengan latarbelakang agama dilihat lebih senang membisu ketika rata-rata rakyat berdepan kesempitan hidup.
“Kita kecewa kerana pemimpin agama lebih gemar menceritakan soal penjawatanan, kerja, politik mereka sahaja, tidak kepada kebajikan mental rakyat.
“Masalah yang dihadapi rakyat ketika ini adalah kesempitan ekonomi dan kita lihat tidak ada pemimpin agama yang mahu menyebut perkara ini secara khusus.
“Apa yang mereka tahu hanya menghukum. Contoh isu membunuh diri. Sedangkan dalam ajaran Islam, sifat mendidik yang ditekankan, bukan menghukum.
“Kita senang membuka kitab dan menghukum si pelaku itu sesat dan sebagainya. Tetapi apakah kita sedar punca perbuatan tersebut?” soalnya.
Beliau turut menasihatkan agar agamawan di negara ini untuk menjadi insan yang menggunakan keilmuan mereka merawat tekanan dihadapi rakyat melalui pendidikan serta kesedaran kerohanian.
Katanya lagi, perkara itu boleh ditambah baik dengan cara kerajaan memberi ruang kepada agamawan memberikan kaunseling dan motivasi melalui media kepada rakyat.
“Perlu ada mekanisme atau ruang kepada golongan yang mampu nasihat yang baik serta berkesan agar masalah tekanan ini dapat dibendung.
“Hentikan menjadi agamawan yang duduk senang lenang tanpa memikirkan tanggungjawab yang dipikul.
“Sekiranya mereka ini seorang agamawan yang warak, pastinya mereka sedar dengan masalah sosial yang berlaku dan mengambil insiatif dalam membetulkannya,” katanya lagi.
Johorkini