BM | EN | 中文

Glomac kurangkan pelancaran projek baharu kepada RM403 juta pada 2021

Glomac-Berhad.jpg

Grafik Ehsan NST

Advertisement

KUALA LUMPUR, 27 OKT: Glomac Bhd mengurangkan pelancaran projek baharu kepada RM403 juta untuk tahun kewangan 2021 daripada RM670 juta sebelum ini berikutan kekurangan keyakinan pasaran, tetapi terus optimis untuk prospek tahun penuh, disokong oleh jualan belum dibilkan yang tinggi sebanyak RM660 juta sehingga 31 Julai, 2020.

Pandemik COVID-19 telah menjejaskan pasaran hartanah, menyebabkan situasi pasaran hartanah semasa lembap.

Peningkatan pinjaman tidak berbayar (NPL) berikutan pendapatan isi rumah yang tidak mencukupi untuk membayar balik ansuran pinjaman perumahan, selain kadar pengangguran yang diunjurkan terus meningkat telah memberi tekanan kepada industri ini.

Advertisement

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Seri Fateh Iskandar Mohamed Mansor berkata tiba masanya untuk kerajaan memperkenalkan semula skim untuk pembeli rumah kali pertama seperti FundMyHome+Depositku.

Pada masa yang sama menyemak semula garis panduan pemilikan hartanah oleh warga asing untuk membantu memacu pasaran.

“Kadar pembelian rumah bergantung kepada sentimen pasaran. Kami menjangka NPL dan kadar pengangguran, akan lebih tinggi dalam masa terdekat.

Advertisement

“Bagi Glomac, kami akan lakukan yang terbaik untuk mengekalkan prestasi dalam situasi semasa,” katanya pada sidang media secara maya selepas mesyuarat agung tahunan ke-36 semalam.

Kerajaan telah memperkenalkan Kempen Pemilikan Rumah 2020-2021 pada Jun lepas di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) untuk merancakkan sektor hartanah.

Di bawah inisiatif itu, pemohon yang berjaya dapat menikmati 100 peratus pengecualian duti setem bagi instrumen pemindahan untuk setiap pembelian rumah kediaman sehingga bernilai RM1 juta, dan untuk hartanah bernilai lebih RM1 juta dan sehingga RM2.5 juta, duti setem tiga peratus perlu dibayar untuk instrumen pemindahan.

Advertisement

“Bank juga perlu lebih fleksibel dalam memberikan pinjaman. Kami menjangka permintaan terhadap hartanah kediaman masih kukuh pada masa ini.

“Kami berharap bank akan lebih fleksibel… mungkin, pengenalan semula skim dan menarik lebih ramai pembeli asing boleh menjadi langkah sementara, misalnya, setahun, kerana sekarang pembelian asing kurang daripada dua peratus,” katanya.

Glomac dijangka memberi tumpuan kepada kediaman mampu milik bertanah di pembangunan perbandaran pada tahun kewangan 2021, iaitu Saujana Perdana, Saujana KLIA dan Saujana Jaya, Johor.

Advertisement

“Terdapat permintaan terhadap pembangunan perbandaran bertanah, sekurang-kurangnya kami menyaksikan momentum sejak dua hingga tiga bulan ini.

“Orang mahukan rumah yang agak besar, ruang yang khusus berikutan kebanyakan bekerja dari rumah. Oleh itu, kami akan menukar bilik dan susun atur tertentu kepada ruang bekerja dari rumah (WFH) atau ruang belajar. Kami turut bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi untuk menaik taraf sambungan wifi kepada rumah kami,” kata Fateh Iskandar.

Bagi tahun kewangan 2020 berakhir 30 April, 2020, kumpulan mencapai jualan baharu sebanyak RM385 juta, naik 19 peratus berbanding tahun kewangan 2019, didorong oleh kejayaan 121 kediaman dan fasa kediaman bertanah mampu milik di Saujana Perdana di Sungai Buloh.

Advertisement

Prestasi jualan yang kukuh pada tahun kewangan 2020 meningkatkan jualan belum dibilkan kepada RM650 juta pada akhir tahun kewangan 2020, naik 37 peratus daripada RM476 juta pada tahun kewangan 2019 berikutan campuran produk yang menggalakkan dan kekuatan pembangunan Glomac, yang disasarkan secara strategik kepada segmen mampu milik dan pasaran pertengahan.

Lembaran imbangan kumpulan kekal kukuh berikutan kedudukan tunai meningkat kepada RM176.4 juta, manakala kadar tahap hutang merosot kepada 0.28x berbanding dana pemegang saham sebanyak RM1.1 bilion.

Lembaga Pengarah syarikat mencadangkan dividen satu peringkat akhir sebanyak 1.0 sen sesaham biasa, yang membawa kepada hasil dividen kira-kira 3.3 peratus.

Advertisement

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top