GETAH PERCHA JOHOR BANTU TEKNOLOGI KABEL BAWAH LAUT
Penanaman kabel telegraf bawah laut pertama pada 1858 

GETAH PERCHA JOHOR BANTU TEKNOLOGI KABEL BAWAH LAUT

 

Pernah dengar ke nama getah percha? Dalam buku “To Siam and Malaya” tulisan Florence Caddy pada tahun 1889, ada diceritakan bagaimana Datuk Meldrum mencadangkan penanaman pokok berharga ini kepada kerajaan British dan Johor.

Caddy menuliskan bahawa orang Melayu menyebutnya sebagai ‘getah-taban’, mula-mula ditemui di hutan Johor.

Penemuan ini amat bermakna kepada British yang memperkenalkan teknologi telegraf pada abad ke-19. The Brett brothers kemudiannya mencuba penanaman kabel bawah laut yang disaluti getah percha ini pada September 1851.

Kejayaan mereka merintis perkembangan teknologi kabel bawah laut sejauh 15,000 hingga lebih 200,000 batu nautika antara tahun 1866 hingga 1900.

Sejak itu, penebangan pokok getah percha semakin berleluasa akibat permintaan yang sangat tinggi. Ini mendesak kerajaan British kala itu untuk memulakan pengurusan dan penyelidikan hutan di Tanah Melayu sehingga Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) ditubuhkan pada tahun 1985.

Getah percha sebelum itu sudah pun dimanfaatkan orang Melayu untuk dibuat hulu parang, tongkat, kayu cemeti dan lain-lain. Malah, Temenggong Seri Maharaja Daing Ibrahim lebih awal mengeksport dan mengkomersilkan getah percha ke pasaran global seawal 1840.

Ditambah pula apabila William Montgomerie, doktor bedah Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI) mula menyedari keupayaan luarbiasa getah percha yang digunakan orang Melayu.

Setelah membuat beberapa eksperimen, getah percha dicadangkannya untuk dijadikan penganduh bedah (surgical splint) pada 1842.

Bahan sampel yang dihantarnya ke London kemudiannya menarik perhatian Michael Faraday, tokoh elektromagnetik yang kita belajar di sekolah.

Getah percha disebut beliau pada 1848 sebagai antara penebat elektrik terbaik.

Sejak itulah para jurutera British memanfaatkan getah percha ini yang sifatnya tidak sama seperti getah biasa kerana tahan lasak di dalam air.

Dalam kajian FRIM, getah percha ini dikenali sebagai ‘nyatoh taban merah’ atau nama saintifiknya “Palaquium gutta” daripada famili “Sapotaceae” yang tergolong dalam kumpulan balak saiz sederhana.

Pokok yang mampu mencecah ketinggian 35 meter ini dijumpai di hutan tanah pamah di Semenanjung Malaysia, Singapura, Sumatera dan Borneo.

Getah ini senang dilenturkan dan dikepal-kepal menjadi pelbagai bentuk apabila dipanaskan dan menjadi keras pada suhu bilik.

Getah percha juga pernah dianggap umpama permata dan perhiasan mewah pada abad ke-19. Selain itu, ia juga berjasa kepada penciptaan bola golf bagi menggantikan kayu dan kulit yang payah untuk dibentukkan. Waktu inilah, permainan golf menjadi terkenal.

Sayangnya sejak tahun 1880-an lagi pokok getah percha semakin pupus akibat penebangan tidak terkawal. Walaupun British mula melarang penebangannya pada 1883, ia sebenarnya sudah terlewat.

Hari ini peranan getah percha sudah diganti oleh polythen sejak 1930-an, namun jasanya kepada dunia telekomunikasi takkan pernah dilupakan.

Kini, ia hanya digunakan sebagai lapisan luar bola golf dan bahan tampalan rawatan akar gigi.

Kalau bersiar-siar di Persiaran Meldrum, Johor Bahru ceritakanlah kisah ini kepada rakan dan anak-anak. Dato’ Meldrum pencetus kepada kegunaan getah percha secara meluas.

Hasil bumi tanah kita pernah mencipta sejarah dunia, namun dikomersilkan orang asing hingga generasi hari ini tidak lagi mengenali pokok getah percha.

Mujur kita masih ada FRIM yang memelihara pokok getah percha dengan baik. Bolehlah kita ke sana untuk mengenali pokok getah percha. Pokok tertua yang ditanam di sini sudah pun mencecah usia 92 tahun.

RUJUKAN

https://archive.org/details/in.ernet.dli.2015.93050/page/n267

http://medind.nic.in/eaa/t05/i2/eaat05i2p32.pdf

http://eresources.nlb.gov.sg/infopedia/articles/SIP_358_2005-01-06.html

https://qz.com/785119/the-forgotten-tropical-tree-sap-that-set-off-a-victorian-tech-boom-and-gave-us-global-telecommunications/

https://www.frim.gov.my/ms/6269/

http://johorsoutherntigers.com.my/interesting-facts-history-of-johor-johor-as-a-mould-for-the-modernisation-of-malay-states-part-one/

JohorKini

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )