KLANG, 25 MAC: Kerajaan Selangor menjangka pelaburan berjumlah kira-kira RM1 bilion bakal diperoleh menerusi projek pembangunan Gerbang Maritim Selangor (SMG) di Sungai Klang menjelang 2030.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata sungai tersebut dan kawasan tebingnya memiliki prospek besar untuk membuka pelbagai peluang bernilai tinggi kepada pelabur serta peniaga.
“Ketika ini, kita sedang berunding dengan beberapa pihak bagi melaksanakan aktiviti ke arah memacu usaha menghidupkan semula Sungai Klang.
“Sungai sepanjang 56 kilometer sudah kita kenal pasti lokasi seluas 242.811 hektar di bahagian pesisirnya yang berpotensi sebagai kawasan pembangunan pada masa depan,” katanya, lapor SelangorKini.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyelusuri Sungai Klang dan melawat Taman Awam Pangkalan Batu yang merupakan salah satu daripada lima projek pemangkin di bawah SMG, Selasa lalu.
Sementara itu, Amirudin berkata empat teras utama digariskan sebagai pemacu utama projek berkenaan merangkumi pembersihan dan ketersambungan sungai serta pembangunan juga pemuliharaan.
“Sudah pasti kita akan lakukan (pembangunan) secara berhemah dan berhati-hati untuk mengekalkan kualiti air Sungai Klang.
“Oleh sebab itu, kita sudah memulakan kerja pembersihan dan menaik taraf di kawasan sungai tersebut,” katanya lagi.
Johorkini