Oleh: Khairul Mohd Ali
PONTIAN 12 NOV: Calon Parti Gerakan Rakyat (Gerakan) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, Wendy Subramaniam akan bekerja tanpa gaji sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat Sabtu ini.
Menurut Wendy, dia membuat keputusan itu kerana sedar tiada perkara lain yang boleh dijanjikan kepada rakyat sekiranya mereka memilih dirinya dalam PRK kawasan itu.
“Saya mengumumkan untuk menderma elaun sebagai Ahli Parlimen berjumlah kira-kira RM16,000 sebulan sepanjang penggal ini kepada tabung kebajikan khusus buat rakyat Parlimen Tanjung Piai.
“Saya akan bekerja tanpa gaji untuk rakyat Tanjung Piai. Ini antara perkara yang saya boleh janjikan,” katanya.
Perkara itu diumumkan pihaknya dalam sidang media yang diadakan di sini hari ini.
Turut hadir, Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau Hoe Chai.
Tambah Wendy, dia hanya akan menggunakan pendapatan sebagai seorang peguam untuk urusan menjalankan peribadinya.
Sementara itu, Dominic turut memberitahu, pihaknya telah bersetuju dengan pengumuman calon mereka di PRK Parlimen Tanjung Piai untuk mendermakan elaun sebagai Ahli Parlimen kepada tabung kebajikan.
“Sekiranya menang, kami akan membuka sebuah pusat khidmat kepada rakyat yang memerlukan dan tabung tersebut akan diuruskan secara telus.
“Dalam tempoh setahun, sebanyak RM192,000 akan dibelanjakan khusus untuk kebajikan masyarakat berbilang kaum di parlimen ini,” katanya lagi.
JohorKini