BM | EN | 中文

Gencatan senjata disambut baik, namun kekejaman Zionis-Israel mesti dihentikan – MP Ledang

Syed-Ibrahim-Syed-Noh-Ledang.png
Advertisement

Pada jam 2 pagi waktu Palestin semalam, gencatan senjata antara rejim zionis Israel dan Palestin (Gaza) telah berkuatkuasa. Berita ini disambut baik demi keamanan, kemanusiaan dan nyawa mereka yang yang dipertaruhkan khususnya di kalangan rakyat Palestin yang menanggung derita keganasan dan penindasan rejim zionis Israel.

Sepanjang 11 hari konflik, seramai lebih daripada 240 orang telah terbunuh, termasuk lebih 100 orang kanak-kanak dan wanita, beribu yang tercedera, berpuluh ribu yang kehilangan tempat berteduh serta beratus bangunan termasuk hospital, bangunan penempatan dan menara media yang telah musnah, kebanyakannya di Gaza. Takziah dan simpati kepada seluruh ahli keluarga mangsa.

Kedua-dua belah pihak, rejim zionis Israel dan Hamas dilaporkan menerima gencatan senjata tersebut namun jelas berwaspada terhadap kemungkinan ianya berulang.

Advertisement

Gencatan senjata tidak akan dapat menggantikan nyawa yang hilang dan penderitaan yang terpaksa dialami oleh rakyat awam terutama di kalangan anak-anak, wanita dan warga emas, rakyat Palestin.

Namun dalam waktu sekarang, tindakan segera wajar diambil untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada Palestin. Dunia wajar segerakan bantuan untuk mangsa konflik khususnya bantuan perubatan, pemakanan, keperluan harian dan pemulihan semula rumah serta bangunan di Gaza.

Pada masa yang sama, jenayah perang dan kemanusiaan oleh rejim zionis Israel tidak boleh dilupakan begitu sahaja. Tercetusnya konflik akibat sikap angkuh rejim zionis Israel dan apartid ala pembersihan etnik di kawasan kejiranan Sheikh Jarrah dan Masjid Al-Aqsa tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.

Advertisement

Bulan Mac lalu, pendakwaraya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), Fatou Bensouda, telah menyatakan bahawa pihak ICC memandang serius akan siri peristiwa yang berlaku dan telah membuka siasatan rasmi. Beliau mengingatkan semua pihak untuk tidak mencetuskan tindakan yang boleh mengakibatkan pelanggaran jenayah perang.

Dengan konflik terkini ini, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Palestin wajar menuntut ICC untuk segera memulakan tindakan dakwaan ke atas jenayah kemanusiaan dan perang yang dicetuskan oleh rejim zionis Israel.

Kesimpulannya, meskipun gencatan tercapai dalam keadaan di mana rejim zionis Israel bertindak ganas dan pihak Palestin berjaya mempertahankan diri dan menghadapi rintangan, namun asas konflik ini tidak boleh diselesaikan sehingga rejim zionis Israel menghentikan penjajahan, pencerobohan, jenayah kemanusiaan dan apartid ke atas Palestin.

Advertisement

Syed Ibrahim Syed Noh merupakan ahli parlimen Ledang, dan ahli lembaga Liga ahli-ahli parlimen Al-Quds

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top