BM | EN | 中文

Gagal patuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling, 115 kompaun terhadap premis di jajaran Sg Sembrong

sungai-sembrong.jpg

Sungai Sembrong (Gambar Ehsan Blog LR Family)

Advertisement

KLUANG, 5 OKT: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor mengeluarkan 115 kompaun kerana gagal mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, hasil pemeriksaan terhadap 55 premis yang beroperasi di sepanjang jajaran Sungai Sembrong, dekat Kluang, akhir bulan lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R. Vidyananthan berkata pemeriksaan itu dilakukan menerusi Ops Gempur selama dua hari berturut-turut pada 29 dan 30 Sept lepas, yang melibatkan 45 anggota penguat kuasa JAS Johor, susulan kejadian ikan mati di sungai tersebut, pada Jun dan Julai lepas.

“Kes kejadian ikan mati yang menjejaskan mata pencarian penduduk Orang Asli di Sungai Sembrong, telah dilaporkan berlaku pada 2 Jun dan 12 Julai.

Advertisement

“Tindakan segera yang diambil oleh JAS Johor semasa kejadian tersebut adalah tindakan penggantungan lesen mengikut Peraturan 4 Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Pelesenan) 1977 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 terhadap premis yang disyaki menyebabkan pencemaran.

“Selanjutnya satu Ops Gempur digerakkan oleh JAS Johor pada 29 dan 30 Sept lepas dengan tumpuan terhadap premis-premis yang beroperasi di sepanjang jajaran Sungai Sembrong,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Vidyananthan berkata selain mengeluarkan kompaun bernilai RM2,000 setiap satu berkenaan, JAS Johor turut mengeluarkan 55 Arahan Di Lapangan iaitu arahan-arahan yang berkaitan dengan kesalahan semasa penguatkuasaan dijalankan di premis yang tidak mematuhi kehendak Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Advertisement

Beliau berkata sebanyak 26 Notis Arahan turut dikeluarkan iaitu mengikut Seksyen 31 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 iaitu kuasa untuk mengkehendaki pemunya atau penduduk memasang, mengendali dan membaiki pencemaran, Seksyen 37 akta sama di mana pemunya atau penduduk perlu memberi maklumat serta Seksyen 49A akta sama bagi kesalahan keperluan orang yang berwibawa dalam menguruskan buangan terjadual.

Katanya tiga penahanan kelengkapan operasi premis turut dilakukan selain satu kertas siasatan turut dikeluarkan mengikut Seksyen 34 A akta sama kerana premis beroperasi tanpa kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) JAS.

“JAS Johor memandang serius kes pencemaran Sungai Sembrong yang menjejaskan mata pencarian penduduk Orang Asli dan akan terus menjalankan penguatkuasaan serta pemantauan secara berkala ke atas punca-punca industri yang melepaskan air buangan ke Sungai Sembrong dan sungai-sungai lain di sekitar Kluang,” kata Vidyananthan.

Advertisement

Sehubungan itu beliau menggesa orang ramai membantu JAS dengan melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1- 800-88-2727 atau e-mel ke aduan_k@doe.gov.my dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.

Bernama

 

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top