BM | EN | 中文

GADIS TERUJA DITERIMA BEKERJA

Nurhidayati.jpeg
Advertisement

BATU PAHAT, 21 OKT : Kegigihan seorang gadis yang mencari pekerjaan membuahkan hasil apabila dia mendapat surat tawaran pekerjaan selepas menyertai Karnival Kerjaya Johor Bestari 2019 Daerah Batu Pahat, di Pasar Raya Square One, di sini, semalam.

Nurhidayati Jumali, 25, yang berasal dari Parit Daun, di sini, berkata, sebelum ini juga dia sememangnya aktif mencari pekerjaan dengan menyertai pelbagai karnival kerjaya di sekitar daerah ini termasuk temuduga terbuka yang dianjurkan oleh industri.

“Kali terakhir saya menyertai karnival kerjaya seperti ini kira-kira dua tahun lalu di sekitar daerah Batu Pahat dan ketika itu, saya sedih kerana tidak mendapat sebarang tawaran pekerjaan mungkin disebabkan saya tidak cukup pengalaman.

Advertisement

“Bagaimanapun, berbeza dengan kali ini apabila saya diterima bekerja dan terus menerima surat tawaran daripada majikan serta merta selepas menghadiri temuduga terbuka yang dianjurkan pada karnival kerjaya ini,” katanya.

Dia ditemui selepas menerima surat tawaran pekerjaan yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi Negeri Johor, Aminolhuda Hassan pada karnival berkenaan.

Hadir sama; Pegawai Daerah Batu Pahat, Zulkiflee Abbas dan Pengurus Besar Unit Strategik Modal Insan Johor (SMI), Saifuddin Abdul Rahim.

Advertisement

Menurut anak kelima dari lapan beradik itu, dia diterima bekerja sebagai juruwang di sebuah syarikat kawalan keselamatan di Tampoi, Johor Bahru dan akan bermula bekerja pada 24 Oktober ini.

“Sebelum ini saya hanya bekerja secara sambilan dan selepas ditawarkan pekerjaan ini.

“Jadi, saya berharap dapat membantu keluarga terutamanya dari segi kewangan dan saya harap karnival seperti ini dapat diteruskan lagi bagi membantu golongan yang memerlukan pekerjaan,” katanya.

Advertisement

JohorKini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top