BM | EN | 中文

FRU bantu tangani COVID-19, banjir di Johor

FRU-bantu-tangani-COVID-19-banjir-di-Johor.png
Advertisement

JOHOR BAHRU, 13 JAN: Polis Kontinjen Johor menerima bantuan anggota tambahan daripada Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) bagi membantu pelaksanaan Op COVID-19 dan banjir di negeri ini.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata seramai 84 anggota dari unit berkenaan telah ditugaskan susulan terdapat anggota dan pegawai polis Johor yang disahkan positif COVID-19 serta menjalani proses kuarantin kendiri di kediaman masing-masing.

Pada masa yang sama, katanya kerjasama dengan agensi lain seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tetap diteruskan dalam usaha mengawal serta mengekang penularan wabak itu khususnya ketika bencana banjir yang memasuki gelombang kedua di negeri ini.

Advertisement

“Walaupun berhadapan situasi banjir, pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetap diperketatkan terutama di pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka dan juga semasa misi bantuan kepada mangsa banjir oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Insya-Allah, kita telah melalui gelombang pertama dan kedua dengan kerjasama bersama agensi lain. Kolaborasi ini akan diteruskan dan akan dimantapkan lagi jika kita berhadapan dengan gelombang ketiga,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas tinjauan udara kawasan banjir di Kluang, Kota Tinggi dan Mersing dengan menaiki sebuah helikopter AgustaWestland AW139 di sini hari ini.

Advertisement

Dalam tinjauan hampir satu jam bersama Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia yang berpangkalan di Subang itu, beliau turut meluangkan masa singgah melawat PPS Sekolah Kebangsaan Kota Jaya dekat Kota Tinggi.

Bernama

 

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top