‘FREELANCER’ ATASI MASALAH PENGANGGURAN

‘FREELANCER’ ATASI MASALAH PENGANGGURAN

Bercakap tentang pekerjaan di Malaysia, kita semua patut tahu yang kadar pengangguran masih tinggi di negara kita.

Setakat suku pertama tahun 2019, Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan negara kita mempunyai 516,600 orang penganggur.

Daripada jumlah ini, 238,286 orang penganggur termasuk 174,327 siswazah telah mendaftar dengan JobsMalaysia untuk mencari kerja.

Maksudnya lambakan siswazah universiti telah menambah kesukaran mencari pekerjaan disebabkan peluang yang terhad ditawarkan para majikan.

Lantas tidak hairanlah kini ramai pemegang ijazah tidak lagi memilih-milih kerjaya. Peluang terbuka menerusi platform terkini untuk menawarkan perkhidmatan pemandu atau penghantar seperti Grab dan FoodPanda menjadi solusi.

Profesor Madya Dr Mohd Yusof Saari yang merupakan pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM) menganggap kerjaya ini sebagai tidak bermaruah seharusnya meneliti semula pandangannya berdasarkan konteks semasa dan masa hadapan.

Jikalau siswazah Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) hendak ditempatkan sebagai pensyarah pun, keperluannya masih terbatas.

Akhir-akhir ini kita dapati kemampuan belajar dengan pelbagai bentuk pinjaman membolehkan seseorang menyambung pelajaran sehingga ke tahap paling tinggi.

Namun, ada beberapa perkara yang perlu diperhalusi untuk menyelesaikan masalah pengangguran yang kadarnya masih tidak menurun.

Kajian Pengesanan Siswazah pada 2015 mendapati kadar pengangguran dalam keluarga berpendapatan rendah adalah lebih tinggi berbanding mereka yang berpendapatan sederhana.

Ini sekaligus menambah tekanan dalam keluarga untuk siswazah ini mencari pekerjaan. Isunya ialah sumber kewangan bagi menampung kehidupan diri dan keluarga. Ditambah pula dengan pinjaman pendidikan tadi sudah perlu dibayar semula.

Tidak timbul isu kerjaya pensyarah lebih bermaruah daripada kerjaya pemandu atau penghantar. Imej dan status bermaruah atau tidak itu dikelaskan oleh budaya masyarakat yang berubah-ubah mengikut zaman.

Ia berbeza jika perbezaan taraf itu berdasarkan nilai kemanusiaan dan keagamaan seperti kerjaya pelacur yang boleh dianggap tidak bermaruah.

Pihak universiti perlu memikirkan dengan serius kebolehpasaran siswazah. Kelulusan bukan lagi menjadi ukuran apabila begitu ramai siswazah tamat pengajian dengan pencapaian akademik yang tinggi.

Dengan permintaan dalam pasaran yang terhad, pencapaian akademik bukan lagi ukuran mutlak. Kemahiran interpersonal seperti komunikasi, fleksibiliti, kepimpinan, kerja berpasukan dan pengurusan masa merupakan nilai penting yang diburu majikan.

Kemahiran ini tidak diajar di dalam kelas dan memerlukan usaha pelajar sendiri. Bertuahlah bagi mereka yang aktif berpersatuan sepanjang tempoh empat tahun pengajian.

Begitu juga mereka yang melibatkan diri dengan urusan luar kampus seperti mengikuti program perniagaan sambilan mahupun kerja kesukarelawanan.

Selain itu, dalam tempoh pengajian, para pelajar seharusnya mengambil peluang mempelajari kemahiran tambahan yang mampu menjadi punca pendapatan dengan bekerja sendiri kelak.

Bakat yang dimiliki boleh diasah hingga tajam. Inilah yang dinamakan kerjaya sebagai freelancer. Dia adalah majikan untuk dirinya sendiri.

Dalam era Revolusi Perindustrian 4.0, kebanyakan majikan ingin mengurangkan pekerja dengan menggunakan sistem automasi dalam perniagaan mereka.

Pekerja hanya diperlukan pada waktu tertentu dan dibayar untuk tugasan itu sahaja. Di sinilah peranan freelancer memenuhi keperluan majikan era baharu. Era ini juga dikenali sebagai The Gig Economy.

Freelancer boleh menyiapkan kerja di mana-mana sahaja pada bila-bila masa. Dengan situasi kehidupan berkeluarga yang kian mencabar, kerjaya ini nampak lebih diminati generasi muda. Walaupun nampak mudah, ia sebenarnya memerlukan kesungguhan dan disiplin yang lebih tinggi.

Dari segi kewangan, mereka mampu menjana pendapatan yang lebih lumayan daripada mereka yang bekerja tetap.

Tidaklah semuanya indah buat freelancer, mereka tidak ada jaminan gaji bulanan, tiada caruman pekerja dan lain-lain manfaat yang dinikmati para pekerja makan gaji.

Tapi inilah ruang untuk mengatasi masalah pengangguran di Malaysia. Kemahiran berasaskan bakat atau kreativiti adalah satu-satunya aspek yang tidak dapat dicapai oleh robot atau sistem automasi.

Dalam Forum Ekonomi Dunia, Majlis Agenda Global Tentang Masa Depan Perisian dan Masyarakat menjangkakan bahawa kecerdasan buatan (artificial intelligence) akan menjadi sebahagian daripada ahli lembaga pengarah syarikat pada 2026.

Nampak tak sekarang ini apa sahaja melibatkan data, kecerdasan buatan sudah boleh ambil alih dan buat keputusan dengan lebih cepat dan meyakinkan?

Hanya kreativiti seperti menyanyi, melukis, bermain muzik, menulis, menyunting, merekabentuk, membancuh kopi (barista), mereka fesyen, menggubah bunga, mengukir, fotografi, videografi, mereka animasi, mereka perisian, mencipta lirik, mengarang lagu, berlakon, menari dan sebagainya inilah yang sentiasa laku pada setiap zaman.

Jangan sudah terhantuk baru tengadah. Itulah pepatah Melayu sudah berpesan. Kerajaan, majikan dan pendidik hendaklah proaktif memikirkan solusi mendepani Revolusi Perindustrian 4.0 berbanding hanya melabelkan kerjaya mana lebih bermaruah.

RUJUKAN

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/07/582258/eksklusif-siswazah-siswazah-miskin-b40-sukar-dapat-kerja-setimpal

https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2019/10/14/pensyarah-upm-maruah

https://www.weforum.org/agenda/2016/01/the-10-skills-you-need-to-thrive-in-the-fourth-industrial-revolution/

JohorKini

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )