BM | EN | 中文

Fokus menang PRN dulu, pelantikan MB Johor kuasa sultan – Dr Maszlee

parlimen_dr__maszlee_malik.jpg

KLUANG, 27 JAN: Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik mahu fokus diberikan kepada pilihan raya negeri (PRN) Johor daripada Pakatan Harapan (PH) memberi tumpuan menamakan calon mereka sebagai menteri besar akan datang.

Katanya, masih terlalu awal untuk membincangkan perkara itu.

“Terlalu awal untuk bicara isu MB.

“Fokus untuk memenangi PRN dahulu. Perlantikan MB adalah kuasa mutlak Tuanku Sultan,” katanya dalam satu kiriman di Twitter hari ini.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan, Maszlee juga melampirkan ciapan Adun Kota Anggerik PKR Najwan Halimi yang secara terbuka menyatakan sokongannya kepada Maszlee untuk dinamakan sebagai calon menteri besar Johor PH.

Najwan mendakwa ini selari dengan strategi PH semasa PRN Melaka November lalu ketika menamakan Naib Presiden Amanah Adly Zahari sebagai calon ketua menteri gabungan itu.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan PKR bercadang untuk meletakkan Maszlee di kerusi DUN Layang-Layang dan namanya turut disebut-sebut sebagai calon menteri besar yang berpotensi.

Walaupun lazimnya kerusi berkenaan ditandingi PKR, DAP juga dikatakan melobi untuk mencuba nasib di kawasan pengundi bercampur itu. Antara nama yang disebut-sebut ialah Timbalan Setiausaha Publisiti DAP Johor, Marina Ibrahim.

Maszlee menghabiskan lebih setahun sebagai ahli parlimen bebas sebelum menyertai PKR tahun lalu.

Dia dipecat daripada Bersatu pada 2020 selepas membantah keputusan Muhyiddin Yassin yang membawa parti itu keluar daripada gabungan PH.

Sebelum menyertai politik pada 2018, Maszlee menghabiskan sebahagian besar kerjayanya dalam bidang akademik.

Selain Layang-Layang, kerusi DUN di bawah parlimen Simpang Renggam ialah Machap. Kedua-dua kerusi itu merupakan kawasan pengundi Melayu sebagai majoriti namun turut mempunyai pemilih bukan Melayu yang besar.

Walaupun Maszlee yang mewakili PH memenangi kerusi parlimen Simpang Renggam pada pilihan raya umum 2018, kedua-dua kerusi DUN di bawah kawasan parlimen ini dimenangi Umno.

Pada pilihan raya umum lalu, Onn Hafiz Ghazi dari Umno memenangi Layang-Layang dengan majoriti tipis 364 undi.

Onn Hafiz ialah cicit kepada pengasas Umno, Onn Jaafar dan anak saudara kepada veteran Umno, Hishammuddin Hussein.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top