BM | EN | 中文

FOKUS BELANJAWAN JOHOR 2019 JADI KPI EXCO

mb-johor-2.jpg

ISKANDAR PUTERI, 25 NOV : Kerajaan negeri melalui Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pemantauan Projek dan Kesejahteraan Rakyat) sentiasa memantau kemajuan perlaksanaan titik fokus Belanjawan Johor 2019.

Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, semua titik fokus Belanjawan Johor 2019 menjadi petunjuk prestasi utama (KPI) Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor.

“Untuk makluman Yang Berhormat, dalam Belanjawan Johor 2019, sebanyak 207 Titik Fokus telah digarap dalam memandu arah Kerajaan Negeri Johor.

“Status pelaksanaan sehingga 19 November 2019, sebanyak 194 Titik Fokus iaitu bersamaan 93.71 peratus telah siap dan dalam pelaksanaan.

“Manakala, baki sebanyak 13 titik fokus bersamaan 6.28 peratus masih di dalam peringkat awal pelaksanaan,”katanya.

Dr Sahruddin (PH-Bukit Kepong) berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Ir Hasni Mohammad (BN-Benut) dan Hahasrin Hashim (BN-Panti) di Mesyuarat Ketiga (Belanjawan Johor 2020) Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-14 di Kota Iskandar di sini, hari ini.

Mereka meminta Dr Sahruddin menyatakan perkembangan terkini pelakasanaan semua inisiatif-inisiatif yang telah diumumkan dalam Belanjawan Johor 2019 dan peratusan pelaksanaan terkini bagi setiap inisiatif atau titik fokus yang telah diumumkan dalam belanjawan tersebut.

Dalam pada itu, beliau berkata, seramai lapan orang exco telah mencapai 85 peratus pelaksanaan ke atas titik-titik fokus Belanjawan Johor 2019.

Katanya, titik fokus yang masih dalam perancangan serta sedang dijalankan akan terus dipantau agar ianya dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.

“Dalam Belanjawan Johor 2019 juga, kerajaan negeri Johor telah memperuntukkan sebanyak RM608 Juta bagi pembelanjaan pembangunan. Sehingga 31 Oktober 2019 prestasi perbelanjaan adalah sebanyak 65.27 peratus.

“Jika dibuat perbandingan, prestasi perbelanjaan pembangunan Negeri Johor dengan RMK – 11, pada tarikh yang sama, perbelanjaan kerajaan peruntukan pembangunan Negeri Johor sedikit lebih tingggi daripada prestasi perbelanjaan kemajuan nasional iaitu sebanyak 59.15 peratus.

“Untuk makluman Yang Berhormat, bagi Belanjawan Johor 2020 yang telah saya bentangkan pada hari khamis yang lalu, kerajaan negeri telah bersetuju bagi melaksanakan 183 titik fokus,”katanya lagi.

JohorKini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top