BM | EN | 中文

FGV tambah tangki simpanan untuk penuhi permintaan pasaran

Felda-Global-Ventures_FGV.jpg
Advertisement

KUALA LUMPUR, 16 OKT: FGV Holdings Bhd meluaskan kemudahan simpanan pukalnya dengan menambah enam lagi tangki simpanan baharu untuk minyak sayuran bagi memenuhi peningkatan permintaan di pasaran dan memenuhi mandat biodiesel B20 kerajaan untuk sektor pengangkutan.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan FGV Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata penambahan tangki simpanan itu membuktikan kepakaran petugas kumpulan berkenaan untuk mengendalikan produk-produk minyak sayuran dan bukan sayuran.

Beliau berkata, ia turut disokong oleh sistem pengkomputeran sepenuhnya, kawalan kualiti dan kuantiti yang ketat, langkah-langkah keselamatan yang tegas selain kemudahan terima-simpan-hantar yang menyeluruh.

Advertisement

“FGV Johor Bulkers Sdn Bhd (FJB) adalah satu daripada terminal paling lengkap untuk mengendalikan pelbagai jenis simpanan serta keperluan pergerakan kargo. Melangkah ke hadapan, FGV merancang meluaskan lagi perniagaan simpanan pukal ke luar negara dan kami sedang meneroka pilihan terbaik yang ada,” kata Haris Fadzilah dalam kenyataan hari ini.

FGV mengendalikan perniagaan simpanan pukal menerusi anak syarikatnya FJB yang mengendalikan 25 peratus daripada keseluruhan eksport minyak sawit Malaysia dan menyediakan ruang simpanan yang cukup kepada pedagang minyak sayuran antarabangsa bagi menjalankan perniagaan di serata dunia.

Menurut kumpulan itu, empat tangki berkenaan terletak di Pasir Gudang, Johor dengan kapasiti simpanan 10,400 tan metrik (MT) telah siap pada Ogos 2020, manakala dua tangki dengan kapasiti simpanan 5,200 MT di Pelabuhan Klang, Selangor siap pada Februari 2020 dan kini sedia untuk digunakan.

Advertisement

Sementara itu, sembilan tangki tambahan di Tanjung Langsat, Johor yang berkapasiti 20,000 MT kini sedang dalam pembinaan dan dijangka siap sepenuhnya pada suku ketiga 2021.

Pada 2019, FJB mencatat sejarah apabila syarikat berkenaan menceburi bidang pengendalian kimia asas sejajar dengan strateginya dalam mengembangkan perniagaan kumpulan berkenaan selain minyak sayuran.

FGV berkata menjelang 2021, FJB dijangka akan mengendalikan lebih 80,000 MT kimia asas setahun di kemudahan mereka di Tanjung Langsat, Johor berikutan peningkatan permintaan.

Advertisement

FJB turut mengendalikan dua gudang untuk penyimpanan dedak isirung sawit, tempurung isirung sawit dan bijirin.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top