BM | EN | 中文

FGV minta Felda hentikan siaran media

felda-global-ventures-FGV.jpg
Advertisement

KUALA LUMPUR, 3 NOV: FGV Holdings Bhd mahu Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) berhenti daripada mengeluarkan kenyataan lanjut kepada media berhubung isu perjanjian pajakan tanah (LLA), memandangkan ia masih belum menerima notis bertulis daripada Felda mengenai penamatan LLA dan hasratnya untuk mengambil alih kilang sawit FGV di seluruh negara.

Syarikat perladangan itu berkata Pengerusi FGV Datuk Wira Azhar Abdul Hamid, semalam menulis surat kepada Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh memaklumkan kepadanya bahawa notis untuk menamatkan LLA itu masih tidak diterima.

FGV mencadangkan Felda untuk menghentikan sebarang siaran media mengenai perkara tersebut dan berbincang sebelum melepaskan kenyataan bersama mengenai perkara yang dipersetujui mengikut terma dan syarat LLA, kata beliau dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Advertisement

Pengerusi Pasukan Petugas Khas Felda, Tan Sri Abdul Wahid Omar mengumumkan rancangan berkenaan pada 30 Okt lepas.

Sementara itu, ketika mengulas mengenai artikel yang diterbitkan oleh The Edge Malaysia yang melaporkan Felda menentang cadangan Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary mengenai suntikan aset perladangan ke dalam FGV, FGV menjelaskan pengarah-pengarah FGV ada menerima surat daripada pengerusi Felda yang menyatakan lembaga pengarah Felda tidak akan menyokong sebarang cadangan yang akan menyebabkan pencairan pegangan sahamnya di dalam FGV.

Mengenai cerminan kepentingan daripada syarikat pegangan pelaburan Perspective Lane (M) Sdn Bhd (PLSB) pada 15 Okt untuk mengambil bahagian dalam FGV melalui suntikan aset perladangan sebagai pertukaran kepada saham, FGV berkata PLSB tidak menyebut sama ada aset perladangan yang mahu disuntik ke dalam syarikat itu, diletakkan di bawah Tradewinds Plantations Bhd.

Advertisement

Juga tidak disebut sama ada Central Sugar Refinery Sdn Bhd (CSR), yang diletakkan di bawah PLSB, adalah sebahagian daripada aset perladangan yang akan disuntik ke dalam FGV.

PLSB adalah subsidiari milik penuh Restu Jernih Sdn Bhd yang dimiliki oleh jutawan, Syed Mokhtar. Tradewinds Plantation dan CSR pula dimiliki oleh PLSB.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top