JOHOR BAHRU, 22 DIS: Rakyat Malaysia bakal berpeluang menyaksikan gerhana matahari Anulus (Cincin) pada 26 Disember ini yang berlaku di kawasan Taman Negara Johor Tanjung Piai, Johor.
Tourism Johor dalam satu kenyataan memakluman, bersempena fenomena ini, Planetarium Negara dengan kerjasama kerajaan Johor dan Taman Negara Tanjung Piai akan mengadakan Festival SolarFest Malaysia 2019 bermula 24 sehingga 26 Disember 2019.
Pada kemuncak acara 26 Dis nanti, orang ramai khususnya peminat astronomi berpeluang menyaksikan Gerhana Matahari Cincin melalui teleskop dan cermin mata yang disediakan oleh Planetarium Negara.
Ia juga boleh ditonton secara langsung selain liputan di Media Sosial yang dijangka diikuti oleh dua juta peminat astronomi di seluruh dunia.
Tempoh gerhana di seluruh negara akan berlaku di antara jam 11.00 pagi hingga 4.00 petang. Tempoh Gerhana Matahari Cincin di Tanjung Piai (selatan Johor) adalah selama 2 minit 30 saat manakala tempoh gerhana Matahari Anulus di Serian (barat Sarawak) ialah 3 minit 28 saat.
Festival tersebut menyasarkan 30,000 pengunjung dan bakal disertai ahli-ahli astrofizik dan selebriti tempatan, melibatkan pelbagai acara antaranya kempen kesedaran alam sekitar dan pameran solar Gastronomi.
Selain dii Tanjung Piai, gerhana matahari ini juga boleh dilihat di Serian, Sarawak.
Johorkini