JOHOR BAHRU, 5 FEB: Fasiliti SUKMA XX Johor 2020 yang kini sudah siap hampir 90 peratus dijangka siap sepenuhnya hujung April ini.
Exco Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, sebanyak 18 fasiliti baharu yang bakal digunakan bagi penganjuran temasya berkenaan.
“Mengenai pesiapan ini, semuanya berjalan dengan lancar dan kita jangka semua fasiliti dan venue ini akan siap sepenuhnya sebelum April tahun ini.
“Macam sekarang Arena Larkin sudah 90 peratus siap dan cuma perlu ‘touch up’ (cantikkan) sahaja. Kompleks Sukan Mount Austin juga sudah siap, velodrom basikal Iskandar Puteri 90 peratus siap, lapang sasar 68 peratus, balapan olahraga dan venue sukan ragbi di Mount Austin juga sudah 99 peratus,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada wartawan pada sidang media Karnival Semarak Juara SUKMA XX Johor 2020 di Hotel Thistle, hari ini.
Tambahnya, bagi kemudahan venue sukan pelayaran di Desaru pula 45 peratus telah siap dan tidak berdepan masalah kerana lokasi berkenaan hanya melibatkan penyediaan ruangan serta beberapa kelengkapan sahaja.
Jelasnya, pihaknya juga akan memastikan perkembangan terkini kesemua projek berkenaan berjalan dengan lancar serta boleh siap seperti yang dijadualkan.
Mohd Khuzzan yang juga Adun Semerah berkata, sekretariat SUKMA Johor juga akan memperkenalkan rekaan obor dan pingat penganjuran acara berkenaan dalam tempoh yang terdekat.
“Kita akan anjurkan satu program lagi nanti untuk perkenalkan rekaan obor dan pingat yang akan digunakan nanti, pastinya ia mempunyai rekaan tersendiri dan terbaik,” katanya lagi.
Johorkini